Home Ekonomi Ringgit bakal mengukuh kepada RM3.80

Ringgit bakal mengukuh kepada RM3.80

ringgit
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – United Overseas Bank (Malaysia) Bhd. (UOB) menjangkakan nilai ringgit akan mengukuh kepada RM3.80 berbanding dolar Amerika dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang meskipun terdapat jangkaan akan berlakunya kemeruapan dalam tempoh terdekat.

Katanya, unjuran positif itu didokong oleh asas ekonomi kukuh Malaysia serta regulasi berkesan oleh Bank Negara Malaysia terhadap pasaran tukaran matawang asing.

Pakar Ekonominya, Julia Goh berkata, ketegangan yang semakin meningkat akibat tarif perdagangan Amerika Syariakt dijangka menyebabkan kemeruapan pasaran.

“Pengenalan tarif tersebut serta kemungkinan berlakunya amalan perlindungan yang lebih tinggi akan memberi kesan terhadap eksport global dan aktiviti perdagangan,.

“Bagaimanapun kami tidak menjangkakan dagangan global akan jatuh merudum pada masa ini,” katanya.

Tambahnya, ringgit sukar untuk mengalami kejatuhan teruk berbanding matawang-matawang serantau yang lain kerana ia disokong oleh pertumbuhan domestik yang kukuh.

UOB katanya, melihat inisiatif Bank Negara meningkatkan kecairan dalam pasaran matawang asing turut menjadi penyokong kepada pengukuhan ringgit. – MalaysiaGazette