KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan kerajaan negeri memuktamadkan proses penstrukturan semula industri perkhidmatan air bersama Kerajaan Persekutuan dengan segera.
Titah baginda, kerjasama kedua-dua peringkat pentadbiran itu penting bagi menjamin kepentingan negeri dan rakyat Selangor.
“Kuasa adalah satu amanah, untuk memenuhi aspirasi rakyat. Tatkala beta bertitah di Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun lalu, beta menitahkan supaya semua pihak mengambil sikap yang bertanggungjawab dan tidak mempolitikkan isu air di negeri ini.
“Beta berharap isu air yang membabitkan kepentingan rakyat ini dapat diatasi dengan segera,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Keenam Sidang DUN Selangor, hari ini.
Hadir sama mengiringi baginda ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Sultan Selangor dalam masa yang sama berkenan dengan hasrat kerajaan negeri dan Air Selangor untuk menjamin kelestarian bekalan air di negeri ini serta memastikan ia dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan untuk rakyat.
“Antara langkah yang telah dilaksanakan adalah pembinaan Loji Rawatan Air Semenyih 2, yang menelan belanja sebanyak RM 177 juta telah mula beroperasi pada 1 Mac 2018, dengan kapasiti tambahan 100 juta liter sehari.
“Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Labohan Dagang dijangka siap pada hujung tahun ini dengan kapasiti 200 juta liter sehari, menelan kos sebanyak RM 497 juta.
“Negeri beta akan menikmati tambahan bekalan air bersih sebanyak 300 juta liter sehari dalam tahun 2018,” titah baginda. – MalaysiaGazette