KUALA LUMPUR – Selepas meletak jawatan secara rasmi, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai penggantinya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan FAM, TMJ menyifatkan tempoh perkhidmatan Hamidin bersama badan induk bola sepak negara itu menjadikan melayakkannya menyandang jawatan tersebut.
TMJ yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) bertitah, jika Hamidin menyandang jawatan itu, kerjasama di antara FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam mengembalikan semula imej bola sepak negara pada masa hadapan akan lebih mudah.
“Pada pendapat saya, calon paling layak untuk menerajui FAM selepas ini adalah Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang telah sekian lama berkhidmat untuk bola sepak tanah air.
“Jika kita lihat FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) juga, presiden-presiden juga datang dari kalangan Setiausaha Agung kerana mereka amat memahami sistem pentadbiran bola sepak.
“Saya juga mempunyai hubungan yang amat baik dengan beliau (Hamidin) dan ini akan memudahkan lagi kerjasama di antara FAM dan Malaysian Football League (MFL),” titah beliau.
Tunku Ismail turut memberi jaminan bahawa pendapatan FAM akan terjamin sekiranya Hamidin dipilih oleh anggota gabungan sebagai presiden baru.
“Jika beliau (Hamidin) dipilih sebagai presiden oleh ahli gabungan, saya akan memberi sokongan penuh kepada beliau dan memastikan pendapatan FAM terjamin. Saya berharap semua ahli gabungan akan menyokong beliau sebagai Presiden FAM,” titah beliau.
Dalam pada itu, beliau mengesyorkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusof Mahadi dilantik sebagai Pemangku Presiden sehingga kongres ke-64 FAM berlangsung pada Julai depan.-MalaysiaGazette