Home Nasional Tiga anggota Parlimen DAP digantung hadiri Dewan Rakyat

Tiga anggota Parlimen DAP digantung hadiri Dewan Rakyat

Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V membaca titah pada majlis pembukaan Sidang Parlimen Penggal ke-15 Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 6 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Tiga anggota Parlimen pembangkang digantung daripada menghadiri mesyuarat Dewan Rakyat selama 10 hari berkuatkuasa hari ini kerana menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Arahan itu dikeluarkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ke atas Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas), Nga Kor Ming (DAP-Taiping) dan Sivakumar Varatharaju Naidu (DAP-Batu Gajah).

Keputusan itu dibuat susulan kenyataan dan tindakan ketiga-tiga mereka selepas penolakan Yang Dipertua Dewan Rakyat terhadap usul berkenaan penyitaan kapal layar mewah ‘The Equanimity’ pada 6 Mac lalu.

“Ingin saya ingatkan bahawa semua kenyataan dan perbuatan yang secara bersama yang dibuat oleh ketiga-tiga ahli Yang Berhormat bagi kawasan Beruas, Taiping dan Batu Gajah adalah sesuatu penghinaan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat yang menjalankan tugas sebagai pengerusi Dewan ini dan demikian bererti penghinaan juga kepada Dewan Rakyat yang turut mencemarkan nama baik dan prestij Dewan Rakyat.

“Ianya adalah perbuatan yang menghina Majlis Mesyuarat dan tidak mengendahkan kuasa Pengerusi seperti yang dinyatakan dalam Peraturan Mesyuarat 44(2),” kata Kiandee semasa membacakan keputusan itu ketika sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

— BERNAMA