JOHOR BAHRU – Dua pengawal keselamatan dan seorang juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan merancang melakukan serangan serta memiliki bahan berkaitan pengganas Daesh.
Tertuduh, Nik Muhamad Zaini Nik Hassan dan Ismadi Md Nor @ Ismail didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bangunan antara 11 Disember 2017 hingga 27 Februari lalu, lapor sebuah laman portal.
Mereka didakwa dengan niat bersama-sama melakukan serangan terhadap bangunan beralamat No 1, Jalan Abu Bakar, di sebuah kedai makan di Jalan Kemboja, Kampung Dato’ Sulaiman Menteri.
Sementara itu, Mohd Zaki Ibrahim pula didakwa memiliki video yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Daesh dalam sebuah telefon bimbit dan sebuah tablet di sebuah bilik pengawal pencawang elektrik di Jalan Permas 3/4, Bandar Baru Permas Jaya, Masai di sini, kira-kira 12.30 tengah hari, 27 Februari lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh.
Mahkamah menetapkan 26 April ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik dan laporan pakar berkaitan keganasan. – MalaysiaGazette