WASHINGTON – Amerika Syarikat dan sekutu Eropahnya mengusir berpuluh-puluh diplomat Rusia sebagai tindak balas terhadap serangan agen saraf ke atas bekas perisik Rusia dan anak perempuannya di London pada 4 Mac lalu.
Tindakan itu merupakan pengusiran kolektif terbesar dalam sejarah bagi pegawai-pegawai diplomatik Rusia.
Lebih dari 20 negara telah bersatu dengan United Kingdom untuk mengusir lebih daripada 100 diplomat.
Rusia yang menolak dakwaan melakukan serangan itu berikrar akan bertindak balas terhadap “gerakan provokatif” tersebut.
Sergei Skripal dan anaknya, Yulia diserang ketika berada di Salisbury, selatan England. Keadaan mereka masih kekal kritikal.
Perdana Menteri Britain, Theresa May berkata: “Rejim Presiden Putin melakukan tindakan pencerobohan terhadap nilai dan kepentingannya”.
“Dan sebagai demokrasi Eropah yang berdaulat, United Kingdom akan bersama-sama dengan Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk menghadapi ancaman ini.”
Setiausaha Luar Boris Johnson juga memuji “respons luar biasa” oleh sekutu United Kingdom.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Rusia berkata, langkah itu menunjukkan kesinambungan “laluan konfrontasi” dan berikrar akan bertindak balas. – MalaysiaGazette