Home Ekonomi Bank Rakyat umum dividen 16 peratus bagi 2017

Bank Rakyat umum dividen 16 peratus bagi 2017

Bank Rakyat

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat mengumumkan dividen 16 peratus dengan anggaran pembayaran berjumlah RM480 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

Ia merupakan yang tertinggi sejak tahun 2012.

Dividen adalah bersandarkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM2.05 bilion yang dicatatkannya dalam tahun kewangan dikaji, meningkat sebanyak 17.8 peratus berbanding RM1.74 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Keuntungan bersih bank koperasi itu bagi tahun kewangan dikaji juga mencatatkan peningkatan sebanyak 17.2 peratus kepada RM1.36 bilion, berbanding RM1.16 bilion sebelum ini.

Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd Salleh berkata, prestasi cemerlang itu adalah hasil daripada pendapatan utama sebanyak RM6.34 bilion, meningkat 5.7 peratus berbanding RM6 bilion sebelum ini, didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada aktiviti pembiayaan dan pelaburan selain kos operasi serta peruntukan pembiayaan yang terkawal.

“Secara keseluruhannya, kumpulan berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai bank koperasi paling tinggi keuntungannya dan sebagai institusi kewangan Islam kedua terbesar di Malaysia dari segi saiz,” katanya mengumumkan prestasi kewangan Bank Rakyat hari ini.

Shukry berkata, jumlah pendapatan termasuk pendapatan operasi lain untuk kumpulan meningkat 5.4 peratus kepada RM7.02 bilion, berbanding RM6.66 bilion sebelum ini, yang mana pendapatan daripada pembiayaan sebanyak RM5.11 bilion kekal sebagai penyumbang utama.

“Pendapatan pelaburan meningkat sebanyak 14.7 peratus kepada RM1.25 bilion berikutan pengurusan aset kewangan yang berhemat dengan tumpuan kepada risiko rendah hasil pendapatannya stabil.

“Kumpulan juga mendapat manfaat tambahan keuntungan daripada penilaian semula pelaburan hartanah sebanyak RM128.61 juta,” katanya.-MalaysiaGazette