PETALING JAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sentiasa bekerjasama dalam menangani sebarang ancaman baharu terutama melibatkan unsur sabotaj di dalam atau luar bangunan.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, kerjasama menerusi program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu membolehkan tindakan pencegahan dilakukan dengan lebih berkesan bagi menghindar kejadian seperti membakar bangunan.
Katanya, pihak bomba mempunyai kepakaran dalam menangani suasana kecemasan terutama apabila melibatkan bahan-bahan berbahaya dan mudah terbakar.
“Kerjasama ini membolehkan tindakan pencegahan dilakukan terutama apabila melibatkan unsur sabotaj seperti tindakan membakar mana-mana bangunan dan lain-lain,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Kebombaan Antarabangsa 2018 (IFCEM 2018) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid dekat sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim.
Sementara itu, Noh berkata, sebanyak 29 balai bomba baharu sedang dibina di seluruh negara.
“Pasukan JPBM mempunyai kira-kira 15,000 orang anggota dan kalau dilihat dari segi keperluan, ia memang tidak mencukupi.
“Untuk itu, kita bina 29 balai bomba baharu bagi membolehkan waktu respons iaitu waktu sampai ke lokasi kecemasan dalam masa 10 minit tercapai,” katanya. – MalaysiaGazette