KUALA LUMPUR – Eksport getah Malaysia ke China meningkat 80 peratus kepada RM6.6 bilion atau 875,000 tan tahun lepas didorong oleh kejayaan promosi yang dilakukan melalui pelbagai saluran dan pasaran strategik, termasuk Iran.
Iran ketika ini merupakan pengimport ketiga terbesar getah Malaysia dengan nilai RM250 juta pada 2017, kata Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.
Tambahnya, getah tempatan turut mencatatkan kejayaan besar di pasaran Jepun sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pengeluar getah kelima terbesar selepas Indonesia, Thailand, Vietnam, India dan China.
“Berdasarkan anggaran, penanaman getah di negara ini telah melangkaui jutaan hektar dengan nilai keseluruhan eksport adalah RM32 bilion,” katanya ketika menjawab soalan daripada Dr. Mansor Abdul Rahman (BN-Sik) di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Siew Keong, kerajaan telah melancarkan Dasar Komoditi Kebangsaan (2011-2020) yang menggariskan strategi dan langkah untuk memastikan sumbangan signifikan kepada ekonomi negara. – MalaysiaGazette