PUTRAJAYA – Parti Progresif Penduduk (MyPPP) menaruh harapan untuk bertanding dua kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Naib presidennya, Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata presiden parti, Tan Sri M. Kayveas akan akan bertemu dengan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat untuk menyampaikan keputusan kolektif yang dicapai pada mesyuarat parti itu semalam.
Loga Bala, yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, berkata parti komponen BN selama 25 tahun itu telah mengenal pasti calon berpotensi untuk pilihan raya umum kali ini.
“Kami berharap pengerusi BN mempertimbangkan permohonan ini di bawah prinsip perkongsian kuasa,? katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang 2017 kepada 903 petugas kementerian itu di sini hari ini.
Ditanya sama ada beliau akan bertanding, Loga Bala berkata: “Saya adalah anggota setia parti dan akan mematuhi arahan parti.”
Pada PRU13, MyPPP bertanding dan kalah dalam kerusi Parlimen Kepong serta kerusi DUN Kota Laksamana (Melaka), Pasir Bedamar (Perak), Kota Alam Shah (Selangor) dan Guchil di Kelantan.- BERNAMA