LONDON – Arsene Wenger mendakwa serangan kritikan yang keterlaluan terhadap dirinya sebagai pengurus Arsenal adalah diskriminasi usia.
Pengurus berusia 68 tahun itu mula didesak untuk meletak jawatan oleh segelintir penyokong setelah gagal membawa Arsenal layak ke pertandingan UEFA Champions League (UCL) pada musim lalu.
Kali terakhir Wenger berjaya membawa Arsenal bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) juga ialah 14 tahun yang lalu.
Namun demikian Wenger berpendapat prestasi di atas padang bukan satu-satunya bentuk kritikan yang dilemparkan kepada dirinya.
“Saya terima jika keputusan di atas padang adalah tidak bagus dan anda bercakap mengenai akibatnya. Tetapi apa yang difikirkan kebanyakan orang ialah berapa lama anda sudah berada di kelab ini. Berapakah usia anda. Itu sukar untuk saya terima.
“Perkara lain saya harus terima kerana saya menjawat jawatan yang sentiasa diikuti oleh ramai orang. Saya juga boleh terima jika saya akan dinilai berdasarkan prestasi pasukan,” katanya.