KUALA LUMPUR – Orang ramai akan dilindungi daripada fitnah yang berleluasa dalam media sosial dengan pengenalan Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Keruak.
Salleh berkata undang-undang tersebut bertujuan melindungi kepentingan awam dan ia tidak bermakna kerajaan mahu menyekat kebebasan maklumat tapi ia perlu terikat dengan peraturan-peraturan.
“Tujuan kita bentangkan akta ini adalah untuk menentukan kita melindungi individu-individu di Malaysia ini daripada menghadapi banyak fitnah berkaitan berita-berita palsu, itu matlamatnya
“Sudah tentu kebebasan itu masih terbuka luas, kita juga terikat dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan,” kata beliau semasa ditemui selepas program SENIMAN di pejabat Finas hari ini.
Selain itu, penularan berita-berita palsu yang sering tular dalam media sosial juga dapat disekat memandangkan ia banyak menjejaskan banyak pihak, ujar Salleh.
“Kita berpendapat undang-undang ini mampu melindungi kita di Malaysia yang banyak menular sehingga menjejaskan banyak pihak hasil daripada berita-berita palsu dalam media sosial ini.
“Jadi kalau kita rasakan tidak terlibat dalam menyebarkan berita palsu kita tidak perlu ada masalah,” katanya.
Menurutnya, undang-undang tersebut bukan sahaja diperkenalkan di Malaysia malahan banyak negara lain juga mengambil langkah sama untuk menyekat penyebaran berita palsu.
“Bukan sahaja di Malaysia, negara-negara lain pun memang mewujudkan undang-undang serupa untuk melindungi rakyat keseluruhannya,” katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar di Parlimen.
Ia dicadangkan bagi melindungi orang awam daripada penyebaran cepat berita tidak benar dan pada masa yang sama memastikan hak kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan dihormati. – MalaysiaGazette