Home Politik Saya Ahli Parlimen Sungai Besar, bukan Menteri Besar – Budiman

Saya Ahli Parlimen Sungai Besar, bukan Menteri Besar – Budiman

Ahli Parlimen Sungai Besar merangkap ADUN Sungai Panjang, Budiman Zohdi bercakap ketika ditemubual wartawan Malaysia Gazette di Yayasan Budi, Damansara. foto SAFWAN MANSOR, 02 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Budiman Mohd Zohdi menyindir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana takut untuk memberi laluan kepadanya mencelah semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kajian Semula Persempadanan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sungai Besar itu hanya meminta 20 saat daripada Azmin untuk mencelah bagi menjawab tuduhan Ahli Parlimen Gombak itu kononnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi alat kepada kerajaan kerana persempadanan tersebut.

“Saya ini hanya Ahli Parlimen Sungai Besar, bukan Menteri Besar… kenapa nak takut sangat tak mahu beri saya mencelah.

“Saya hanya meminta 20 saat untuk mencelah, itu pun Gombak tak mahu beri laluan,” kata beliau di Dewan Rakyat.

Azmin dalam ucapannya mendakwa langkah persempadanan tersebut akan menghancurkan Malaysia sekiranya usul kajian tersebut diluluskan.

Budiman kemudiaan bangun sekali lagi dan menyindir Azmin menjadi Menteri Besar mengikut pintu belakang dan tidak layak memimpin kerajaan negeri.

“Langkah Kajang itu haram, jadi Menteri Besar ikut pintu belakang itu haram,” katanya.

Terdahulu, Budiman semasa perbahasannya berkata, langkah persempadanan tersebut wajar dibuat memandangkan tiada transformasi yang dibuat sejak lapan tahun dulu.

“Sedikit catatan sejarah semenjak merdeka bermula 104 kerusi Ahli Parlimen, sekarang dah jadi 222 kerusi, inilah kali pertama pembaharuan persempadanan dilaksanakan.

“Pembangkang dakwa SPR menjadi alat kepada Perdana Menteri, tempoh terakhir pada 20 Mac 2011, saya nak sebut kenapa persempadanan tidak dilakukan pada terakhir la[an tahun?” katanya.

Budiman menjelaskan langkah persempadanan semula perlu dilaksanakan setelah mengambilkira faktor geografi dan demografik sesebuah kawasan yang berubah sejak kali terakhir ia dilakukan pada 2003.

“Contohnya, Parlimen Sungai Besar ada 50,000 pengundi, Shah Alam ada 120,000 pengundi, apa bezanya? Sungai Besar tiada IPTA dan kemudahan yang membangun, gedung ikan negara. Shah Alam, tiada air.

“Sungai Besar ada 50,000 pengundi, Kelana Jaya ada 111,000 pengundi, bezanya Sungai Besar cuma ada lebuh raya yang ditambahbaik oleh Kerajaan Persekutuan, Kelana Jaya ada MRT dan infrastruktur yang baik,” katanya. – MalaysiaGazette