NEW YORK – Hakim Amerika Syarikat mengenepikan permintaan Arab Saudi untuk menolak tuntutan undang-undang membantu merancang serangan 11 September 2001.
Berikutan itu, Arab Saudi dijangka berdepan dengan tindakan membayar ganti rugi yang menelan kos berbilion dolar kepada mangsa-mangsa dan keluarga-keluarga mangsa.
Hakim Daerah Amerika Syarikat, George Daniels di Manhattan berkata, dakwaan plaintif yang ‘menolak dasar yang wajar’ menyukarkan usaha melaksanakan hukuman ke atas Arab Saudi di bawah Akta Perundangan Menentang Penaja Keganasan (JASTA), sebuah Undang-Undang Persekutuan 2016.
Kerajaan Arab Saudi telah menafikan pembabitannya dalam serangan itu yang mana pengganas bertindak merampas pesawat dan kemudian kapal terbang itu merempuh Pusat Dagangan Dunia New York, bangunan Pentagon di luar Washington dan padang Pennsylvania.
Serangan-serangan itu mengorbankan kira-kira 3,000 orang.
Peguam-peguam Arab Saudi belum lagi mengulas mengenai keputusan tersebut.
Keputusan hakim itu melibatkan tuntutan-tuntutan dari keluarga-keluarga mangsa, membabitkan 25,000 orang yang menderita akibat kecederaan, perniagaan dan penanggung insurans.
Hakim turut menolak dakwaan bahawa dua bank Arab Saudi, National Commercial Bank dan Al Rajhi Bank, serta syarikat pembinaan Kumpulan BinladSaudi Binladin Group menyediakan dana dan kewangan untuk serangan itu kerana tidak mempunyai bidang kuasa terhadap pertuduhan tersebut.
Sebelum ini, Arab Saudi telah memohon imuniti berhubung saman ekoran serangan tersebut oleh undang-undang Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, pada September 2016, Kongres membubarkan veto Presiden Barrack Obama terhadap JASTA, sekaligus membenarkan kes saman itu diteruskan.
Obama memberi amaran bahawa undang-undang itu akan mendedahkan syarikat-syarikat, tentera dan pegawai-pegawai Amerika Syarikat dengan tindakan sama di negara-negara lain.
Hakim berkata, plaintif boleh cuba membuktikan bahawa Arab Saudi bertanggungjawab dengan kegiatan yang dikaitkan dengan Fahad al Thumairy, seorang imam di Masjid Raja Fahad di Culver City, California, dan Omar al Bayoumi yang didakwa sebagai pegawai risikan.
Mereka dituduh membantu dua perampas menyesuaikan diri di Amerika Syarikat dan bersiap-sedia untuk serangan.
Arab Saudi telah mendakwa bahawa plaintif tidak dapat menunjukkan mana-mana pegawai, pekerja atau ejen Saudi yang merancang atau melakukan serangan. – MalaysiaGazette