Home Dunia Assange dihalang akses Internet

Assange dihalang akses Internet

Julian Assange

QUITO – Ecuador telah memotong akses Internet Julian Assange di kedutaannya di London, bagi menghalang pengasas WikiLeaks berkomunikasi dengan dunia luar.

Langkah itu bertujuan mengekang Assange daripada campur tangan dalam hal ehwal negara lain, kata Ecuador.

Tindakan tersebut dibuat selepas Assange mempersoalkan tuduhan Moscow bertanggungjawab melakukan serangan agen saraf terhadap bekas perisik Rusia dan anak perempuannya di United Kingdom pada 4 Mac lalu.

Assange diberikan suaka politik di Kedutaan Ecuador pada tahun 2012.

Dia pada mulanya tinggal di London bagi mengelakkan ekstradisi ke Sweden untuk menghadapi siasatan berhubung tuduhan jenayah seks, yang telah dinafikan Assange.

Pihak berkuasa Sweden kemudian membatalkan siasatan ke atas Assange tetapi lelaki itu percaya dia akan diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk disoal siasat berhubung aktiviti WikiLeaks jika keluar daripada bangunan tersebut.

Pada tahun 2016, Ecuador telah menggantung akses Internet Assange selepas dia mendedahkan emel-emel dari kempen kumpulan Hillary Clinton, tindakan yang memberi kesan kepada kempen pilihan raya Presiden Amerika Syarikat.

Pada Mei 2017, Presiden Ecuador, Lenin Moreno meminta Assange agar tidak menyatakan sokongannya terhadap kempen kemerdekaan di rantau Catalonia, Sepanyol selepas dia menulis Madrid bersalah kerana penindasan yang dilakukan. – MalaysiaGazette

Assange diberikan suaka oleh bekas Presiden Ecuador, Rafael Correa. – MalaysiaGazette