Home Politik Isu air: Azmin perlu hormati titah Sultan

Isu air: Azmin perlu hormati titah Sultan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor yang ditadbir oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dinasihatkan supaya memandang serius titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai isu air di negeri itu.

Kata bekas Menteri Besar negeri itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan keputusan membabitkan penstrukturan semula industri air Selangor perlu dimuktamadkan berdasarkan perbincangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Ia perlu dihebahkan agar rakyat memahami proses dan keputusan yang dibuat memandangkan terdapat keperluan untuk menyiasat mengapa terdapat kelewatan dalam pelaksanaan penyusunan semula industri air Selangor.

“Berkenaan hal ini, kita perlu bertanya kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kenapa kuasa atau lesen pembersihan air tidak diberi sepenuhnya (kepada) kerajaan negeri kerana kuasa ini penting untuk mempercepatkan proses pengambilalihan ekuiti Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash).

“Kepentingan kerajaan negeri perlu tumpu kepada keadilan untuk rakyat. Pastinya syarikat konsesi juga perlu memperoleh keuntungan dalam perniagaan tetapi pulangannya perlulah berpatutan serta sepadan dengan risiko perniagaan yang dipikul.

“Apa pun keuntungan yang diperoleh oleh Splash, kerajaan negeri perlu hebahkan cara pelaksanaan dan pengiraan yang dibuat,” katanya dalam satu kenyataan medianya.

Kata Khalid, kerajaan negeri bertanggungjawab memastikan syarikat konsesi tidak menikmati keuntungan berlebihan selari dengan konsep pertanggungjawaban dalam menjalankan amanah rakyat.

“Jika tidak, bukan sahaja kerajaan negeri akan dipertanggungjawabkan malah pastinya akan timbul fitnah bahawa pentadbiran kerajaan negeri bertindak demi keuntungan syarikat konsesi hingga menekan rakyat Selangor.

“Saya menjunjung kasih ke atas Titah Tuanku Sultan dan mengambil berat nasihat supaya dipercepatkan penyusunan industri air Selangor untuk dimuktamadkan. Apapun alasan bagi kelewatan menyelesaikan proses pengambilan ekuiti Splash, ia merugikan rakyat serta memberi kesan buruk kepada pengurusan dan perkhidmatan air Selangor.

“Kelewatan ini memberi beban tambahan berjumlah RM2 bilion kepada rakyat Selangor yang akhirnya terpaksa dibayar melalui kenaikan tarif air,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama turut memaklumkan hasratnya untuk membahaskan Titah Menjunjung Kasih Sultan Selangor dalam Sidang DUN yang berakhir semalam, namun tidak dapat berbuat demikian selepas Speaker memutuskan hanya satu wakil dari parti politik sahaja dibenarkan berbahas. – Malaysiagazette