Home Nasional Jangan biar media asing burukkan imej negara

Jangan biar media asing burukkan imej negara

Halim Ishak

KUALA LUMPUR – Rakyat di negara ini diminta untuk tidak membenarkan dunia luar untuk mengambil kesempatan untuk memporak perandakan imej serta keharmonian negara ini demi agenda segelintir pihak.

Antara cara paling mudah melakukan perkara seumpama itu termasuk mengadakan demonstrasi jalanan yang juga dihadiri oleh segelintir oleh rakyat kita sendiri kononnya bagi meluahkan rasa tidak puas hati dengan kerajaan pusat.

Bagaimanapun, insiden seperti ini merupakan resipi bagi mengganggu gugat keharmonian negara kerana imej-imej negative serta fakta tidak betul akan juga disalurkan bagi tatapan dunia.

Menurut Presiden Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak, tindakan menyertai demonstrasi bagi membantah sesuatu perkara yang dilaksanakan mana-mana pihak, bukan sahaja tidak memberi sebarang manfaat tetapi mengakibatkan pelbagai kesan negatif kepada negara dan masyarakat umum.

Jelasnya, penganjuran sebarang demonstrasi hanya akan memburukkan Malaysia di mata dunia menerusi wartawan-wartawan asing yang turut membuat liputan aktiviti tersebut.

“Cuba bayangkan apa yang dirakamkan oleh media-media asing, sudah tentu mereka tidak peduli seandainya itu laporan palsu atau benar. Pada mereka, ianya berita.

“Penganjur juga tidak kisah, janji matlamat mereka sampai, belum tentu ianya adalah agenda rakyat atau peribadi.

“Mereka bukan sahaja membuat laporan yang berat sebelah, malah merakam gambar-gambar atau visual-visual negatif sepanjang demonstrasi berlangsung semata-mata untuk memburuk-burukkan negara.

“Saya mohon kepada semua untuk menggunakan saluran yang betul bagi menyuarakan pendapat atau pandangan masing-masing. Ini termasuk menerusi pembuangan undi bagi memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi,” katanya.

Tegas Halim, setiap perkara negatif yang disebar luas oleh oleh media asing akan juga memberi impak buruk terhadap pembangunan ekonomi dan budaya masyarakat Malaysia.

“Saya faham kehangatan PRU-14 semakin tiba, jadi gunakanlah hak sebagai rakyat Malaysia dan jangan memburukkan keadaan dengan menyertai perhimpunan-perhimpunan sebegini. Ia tidak adil kepada majoriti komuniti masyarakat yang tidak bersetuju dengan tindakan perkumpulan kecil ini. Sudah pasti ia akan mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan menjejaskan urusan perniagaan,” katanya.

Semalam, Bersih 2.0 telah mengadakan perhimpunan di hadapan bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Memorandum itu adalah bagi membantah cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya. – MalaysiaGazette