SHAH ALAM – Pas Selangor komited mempertahankan kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dimenangi parti Islam itu sebelum ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Pesuruhjaya Selangor, Salehin Muhyi berkata, meskipun mereka tidak lagi bersama Pakatan Rakyat (PR) sejak 16 Jun 2016, namun kerusi-kerusi yang dimenanginya itu sejak PRU12 pada 2008 akan dipastikan kekal milik parti itu.
“Bukan sahaja di Shah Alam tetapi kerusi-kerusi yang sebelum ini kita telah menang, kita akan terus pertahankan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Manifesto Gagasan Sejahtera Pas Selangor di Hotel Carlton Holiday, di sini, hari ini.
Salehin berkata, Pas enggan menamakan mana-mana wakilnya yang bertanding dalam PRU14 akan datang sebagai calon Menteri Besar Selangor kerana mahu menumpukan kepada pilihan raya terlebih dahulu.
“Kita tak mahu calonkan (Menteri Besar Selangor) sebab kita guna cara beradab dan sopan, kita mahu bertanding dulu,” katanya.
Ditanya tentang calon PRU14 Pas, Salehin berkata, kesemua wakilnya telah dimuktamadkan dan sudah ditapis oleh Majlis Syura Ulama.
“Kesemua calon kita semua layak tanding kerusi, telah ditapis Majlis Syura Ulama’,” katanya.
Sementara itu, Salehin berkata, tidak timbul soal tidak puas hati tentang pembahagian kerusi antara Pas dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia di Selangor.
“Kita sudah runding dengan Ikatan, tidak timbul soal tidak puas hati. Semua parti dalam Gagasan Sejahtera akan guna logo Pas,” katanya. – MalaysiaGazette