Home Politik Pas yakin Manisfesto Gagasan Sejahtera mampu ‘tawan’ Selangor

Pas yakin Manisfesto Gagasan Sejahtera mampu ‘tawan’ Selangor

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehin Muhkyi (kanan) dan para pemimpin parti itu serta bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (kanan) menunjukkan manifesto Pas pada majlis pelancarannya di Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 29 MAC 2018.

SHAH ALAM – Manifesto Gagasan Sejahtera Pas Selangor yang dilancarkan hari ini dijangka mampu memacu Selangor dengan lebih baik berbanding Pakatan Harapan berasaskan 10 teras utama kesejahteraannya.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Salehin Muhyi berkata, kesungguhan Pas dan Gagasan Sejahtera menerusi manifesto untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini boleh memastikan pucuk pimpinan Kerajaan Selangor berubah kali ini.

“Pas dan Gagasan Sejahtera dijangka mampu memacu negeri ini dan rakyatnya ke arah kemakmuran dan kesejahteraan menepati nilai-nilai dan peraturan yang ditentukan oleh Allah SWT, selaras dengan realiti masyarakat majmuk dan berbilang kaum di negeri ini.

“Kami merayu rakyat Selangor memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada kami agar dapat menerajui kesejateraan Selangor, negeri yang kaya dan bertuah ini dengan penuh integriti dan bertanggungjawab,” katanya ketika berucap merasmikan Manifesto Gagasan Sejahtera Pas Selangor di Hotel Carlton Holiday, di sini, hari ini.

Hadir sama, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Antara 10 teras Manifesto Gagasan Sejahtera Pas Selangor ialah Kesejahteraan Berkerajaan, Kesejahteraan Beragama dan Budaya, Kesejahteraan Pendapatan, Kesejahteraan Pendidikan, Kesejahteraan Anak Muda, Kesejahteraan Wanita dan Keluarga, Kesejahteraan Kesihatan, Kesejahteraan Ekonomi Tani, Kesejahteraan Kediaman dan Kesejahteraan Alam Sekitar.

Salehin berkata, Pas komited meneruskan segala program yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat (PR) lalu dengan melakukan penambahbaikan sama ada Merakyatkan Ekonomi Selangor mahupun Inisiatif Peduli Rakyat,

“Saya percaya bahawa Pas juga memainkan peranan penting dalam merangka dan membuat keputusan.

“Apatah lagi sebahagian besarnya juga ianya telah dimulakan sejak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor yang memberi manfaat kepada rakyat Selangor

“Komitmen kita ialah dengan kuasa yang akan diberikan kepada Pas, dan Gagasan Sejahtera kita akan teruskan program-program ini dengan penambahbaikan,” katanya.

Antara teras manifesto yang bakal menarik pengundi Selangor ialah Insentif RM150 untuk Kesihatan dan Keanggunan Wanita, Insentif RM bagi Wanita Bersalin, Insentif Yuran Tahunan PIBG, Pendidikan Percuma bagi Sekolah Milik Kerajaan Negeri, Insentif RM200 pemeriksaan kesihatan untuk umur 40 tahun ke atas serta geran modal RM10 juta untuk 500 petani muda. – MalaysiaGazette