Home Nasional Rozita dikenakan hukuman lapan tahun penjara

Rozita dikenakan hukuman lapan tahun penjara

Rozita Mohamad Ali ketika hadir semasa prosiding mahkamah pada bulan Mac lalu.

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara terhadap seorang suri rumah, Rozita Mohamad Ali yang mengaku bersalah mencederakan pembantu rumahnya, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah menjatuhkan hukuman tersebut selepas mengenepikan bon berkelakuan baik selama lima tahun yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 15 Mac lalu.

Abd Majid berpendapat bon berkelakuan baik yang dikenakan ke atas tertuduh adalah tidak wajar.

Hukuman itu berkuatkuasa hari ini selepas permohonan penangguhan ditolak mahkamah.

Kes Rozita mendapat perhatian selepas Mahkamah Sesyen Petaling Petaling Jaya mengenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun ke atas Rozita dan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara melakukan semakan semula hukuman berkenaan.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Iskandar Ahmad manakala Rozita diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Mengikut pindaan pertuduhan, Rozita didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan sebilah pisau berhulu biru, sebatang mop, sekaki payung, sebatang rod besi, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah, Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara, di sini antara jam 7 pagi dan 12 tengah hari, 21 Jun 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda. – MalaysiaGazette