ZURICH – Isu perkauman masih menyelebungi pentas bola sepak antarabangsa ketika kejohanan Piala Dunia bakal membuka tirainya dalam masa dua bulan lagi.
Ini kerana Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan menyiasat dakwaan membabitkan isu perkauman yang dibuat peminat Russia terhadap pemain Perancis ketika aksi persahabatan kedua-dua negara itu.
Jurugambar agensi berita, Reuters yang berada di atas padang ketika Perancis mencatat kemenangan 3-1 di St Petersburg mendakwa mendengar laungan seperti suara monyet dihalakan kepada pemain-pemain Perancis sebanyak beberapa kali.
Antara yang didakwa menjadi mangsa ialah pemain Chelsea, N’Golo Kante ketika dia sedang mengambil bola di tepi padang.
“FIFA sedang mengumpul beberapa laporan perlawanan dan bukti berpotensi berhubung dengan kejadian diskriminasi perkauman yang dilaporkan media, termasuk daripada FARE (Bolasepak Tolak Perkauman di Eropah) yang datang menyaksikan perlawanan,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.
Insiden itu meningkatkan kebimbangan terhadap usaha melawan diskriminasi perkauman dalam bola sepak kurang tiga bulan sebelum Piala Dunia di Russia membuka tirainya.
Menteri Sukan Perancis, Laura Flessel-Colovic menulis dalam bahasa Perancis di laman twitternya:
“Isu perkauman tidak mempunyai tempat di atas padang bola sepak. Kita perlu berganding bahu di peringkat Eropah dan antarabangsa untuk menghalang tingkah laku yang langsung tidak boleh diterima ini.”
Diskriminasi perkauman adalah perkara yang biasa berlaku di Liga Perdana Rusia termasuk daripada peminat beberapa kelab ternama antaranya Zenit St Petersburg.
Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) membuka prosiding terhadap kelab berkenaan pada minggu lalu berikutan laungan membabitkan perkauman yang dilaungkan peminat mereka ketika aksi Liga Europa melawan RB Leipzig. – MalaysiaGazette