Home Politik Jangan tunggu bubar Parlimen baru nak buat kerja

Jangan tunggu bubar Parlimen baru nak buat kerja

Datuk Seri Jamal Md Yunos

KUALA LUMPURĀ – Pemimpin dan jentera Barisan Nasional (BN) Selangor diingatkan agar tidak menunggu tarikh pembubaran Parlimen dan pengumuman calon baru mahu turun padang menemui pengundi.

Pengerusi BN Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, jentera parti perlu memulakan kerja seawal mungkin khususnya menemui pengundi di luar kawasan bagi memastikan mereka balik mengundi.

“Mulakan sekarang, jangan tunggu pengumuman calon baru nak mulakan kerja. Kita bimbang bila tak jadi calon, mereka bukan setakat merajuk bahkan habis jentera yang dibina bertahun-tahun turut musnah begitu saja.

“Kalau kita lihat ketika PRU-12 dan PRU-13 program sebegini (ramah mesra bersama pengundi luar) tidak dilakukan, jadi berlaku sedikit permasalahan ketika pilihan raya.

“Kami yakin kalau mereka ini tidak balik (mengundi) maka satu kerugian di bahagian kami iaitu Sungai Besar,” katanya ketika ditemui selepas Program Ramah Mesra Bersama Pengundi Luar Sungai Besar di Shah Alam, baru-baru ini.

Jamal selaku Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, niat beliau bukan hendak ‘mengajar’ pimpinan bahagian lain di Selangor sebaliknya mahu mereka mengambil iktibar daripada kekalahan di negeri itu sejak dua penggal lalu.

“Program menemui pengundi luar amat baik dan dapat menyelesaikan permasalahan-permasalahan yang dihadapi oleh pengundi-pengundi luar ini.

“Saya yakin selepas ini akan ada bahagian-bahagian lain yang mengambil pendekatan sebegini dan jika ia berterusan, langkah ini akan memastikan sasaran kita untuk memenangkan kawasan-kawasan yang kita sudah jangka menang akan menjadi realiti,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya jentera BN seluruh Selangor masih selesa ‘berpeluk tubuh’ dan enggan berbuat apa-apa sehingga peruntukan parti disalurkan kepada mereka, ia dibimbangi akan menyukar parti itu merampas kembali negeri itu.

 

“Jadi lupakan soal calon, siapa pun jadi calon itulah yang kita kena sokong. Penyokong dan jentera parti kena memastikan calon itu menang. Utamakan perjuangan parti itu sendiri daripada kepentingan peribadi kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette