Home Seni Hidup Padi muncul kembali di Kuala Lumpur

Padi muncul kembali di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Peminat Padi dapat melepaskan rindu mereka apabila kumpulan dari Indonesia itu akan membuat kemunculan semula selepas tujuh tahun hilang daripada radar industri hiburan.

Kini dikenali kini sebagai Padi Reborn, kumpulan itu masih kekal dibarisi anggota sama iaitu Piyu (gitar), Piyu (Gitar), Fadly (Vokal utama), Ari (Gitar), Rindra (Bass) dan Yoyo (Drum).

Buat pertama kali sejak penubuhan Padi pada tahun 1997, band itu bakal mengadakan konsert sulung mereka Padi Reborn Exclusive Live in KL yang dijadual berlangsung pada 30 Jun ini.

Justeru, kumpulan yang popular dengan lagu-lagu seperti Sesuatu Yang Tertunda, Menanti Sebuah Jawaban atau Begitu Indah itu menjanjikan persembahan bertenaga untuk konsert mereka di KL Live Centre nanti.

“Kami berasa cukup terharu dan senang sekali kerana buat pertama kalinya dengan memakai nama Padi Reborn, sebuah konsert solo kami akan dipersembahkan.

“Persembahan di Malaysia ini juga sebagai lambang apresiasi buat Sobat Padi yang tidak pernah lelah menyokong kami biar pada saat Padi menyepi dan kini kembali.

“Kami berharap Sobat Padi Malaysia akan bergembira menyanyikan lagu-lagu Padi,” kata Piyu dalam satu kenyataan media.

Ini merupakan konsert sulung Padi Reborn yang disifatkan ‘mahal’ sejak penubuhannya untuk beraksi di Malaysia.

Sebelum ini Padi lebih banyak membuat kemunculan bersama kumpulan lain dalam satu-satu persembahan.

Dalam konsert itu nanti, band tempatan Pitahati yang terdiri daripada Ilham, Yasin, Masrin, Zahar dan Hidayat bakal mengisi acara pembuka dengan genre nusantara rock-avant garde mereka.

Sementara itu, selaku penganjur, pengarah syarikat Qew Communications Sdn Bhd, Iqbal berbesar hati kerana lamarannya membawa Padi Reborn ke Malaysia menerima sambutan baik daripada band berkenaan.

“Kami amat maklum sejak Padi Reborn kembali aktif sekitar Februari lalu, adalah sesuatu yang menarik sekiranya kumpulan ini dapat beraksi di Malaysia.

“Selain begitu berjaya dan popular dalam belantika muzik Indonesia, saya percaya Padi Reborn mempunyai pengikut atau Sobat Padi yang setia dan terlalu merindukan aksi pentas secara langsung mereka di sini.

“Justeru, Qew Comm dengan bangganya membawa Padi Reborn Exclusive Live In KL khusus buat anda semua,” ujar Iqbal penuh teruja.

Selama lebih dua dekad berada dalam arena seni, Padi berjaya menghasilkan lima album antaranya Lain Dunia (1999), Sesuatu Yang Tertunda (2001) dan Save My Soul (2003) serta sebuah album kompilasi The Singles.

Band itu pernah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Kumpulan Kegemaran Terbaik dari Indonesia pada MTV Asia 2001, Kumpulan Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2001, Triple Platinum dari Sony Music Malaysia dan pada tahun 2004, album Save My Soul dinobatkan sebagai Album terbaik pada Anugerah Planet Muzik.

Tiket konsert sudah mula dijual dengan harga RM179, tetapi peminat boleh mendapatkan promosi pembelian awal dengan harga RM149.

Bagi mereka yang ingin menemui Padi pada sesi bertemu peminat, tiket dijual pada harga RM290, manakala pembelian awal dengan harga RM249. – MalaysiaGazette