Home Politik Sempadan semula zaman Najib hanya sekali

Sempadan semula zaman Najib hanya sekali

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi Perhimpunan Agung Umno 2017 anjuran Canon Marketing Malaysia di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 30 MAC 2018

KUALA LUMPURĀ – Proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukan hanya dilakukan dalam pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak bahkan telah dibuat ketika kepimpinan negara terdahulu.

Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Seri Rauf Yusoh berkata, proses persempadanan semula ini tidak wajar dipersoalkan dan ia hanya dilakukan sekali ketika pentadbiran Najib berbanding tiga kali dilakukan ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

“Proses persempadanan semula bukan berlaku pada zaman Datuk Seri Najib saja malah ia telah berlaku pada zaman kepimpinan terdahulu, zaman Tun M berlaku tiga kali persempadanan semula ini telah berlaku.

“Jadi persoalan yang timbul ianya bukan perkara baru dan ia telah berlaku dalam kepimpinan terdahulu sebanyak tiga kali,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Pertandingan Foto Perhimpunan Agung UMNO 2017 Hotel Seri Pacific, di sini, hari ini.

Beliau mengulas pembentangan Usul Mengenai Laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Kali Keenam Tahun 2018 oleh Perdana Menteri, di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Kali terakhir urusan kajian semula persempadanan diluluskan adalah pada 2003, yang mana bahagian-bahagian pilihan raya diluluskan pada masa itu, digunakan dalam tiga siri Pilihan Raya Umum iaitu PRU Ke-11 pada 2004, PRU Ke-12 pada 2008 dan PRU Ke-13 pada 2013.

Rauf juga berkata, proses persempadanan semula dibuat untuk menilai semula setiap wakil rakyat mewakili satu-satu kawasan itu dengan jumlah yang munasabah untuk memberi perkhidmatan.

“Untuk merubah keseluruhan kawasan Parlimen, kita memerlukan mandat dua pertiga supaya rakyat bersama-sama menikmati perkhidmatan yang diberikan oleh setiap wakil rakyat dalam kawasan masing-masing,” katanya.

Katanya lagi, persempadanan semula kali ini hanya melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja manakala kesemua 222 Parlimen sedia ada kekal seperti biasa dan tiada pertambahan kerusi.

“Jadi waktu ini kita tidak dapat buat persempadanan semula untuk kawasan Parlimen, jadi kita memohon persempadanan semula bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang difikirkan perlu dan munasabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette