Home Nasional Suhakam dikecam tolak RUU Akta Anti Berita Tidak Benar

Suhakam dikecam tolak RUU Akta Anti Berita Tidak Benar

KUALA LUMPUR – Kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang tidak berpuashati dengan penggubalan Rang Undang-Undang Akta Anti Berita Tidak Benar dikecam.

Presiden Pertubuhan Aduan Rakyat Malaysia (PAR), Datuk A. Chandrakumanan berkata, sikap Suhakam yang menggunakan indeks kebebasan media sebagai modal membantah undang-undang itu tidak masuk akal.

“Kenyataan Suhakam melampau memandangkan terdapat fakta bahawa Perancis dan Ireland yang menduduki rangking lebih tinggi daripada Malaysia dalam indeks itu juga menguatkuasakan undang-undang baharu menyekat berita palsu di negara mereka.

“Bahkan walaupun perdana menteri Britain, Theresa May juga telah memberi amaran kepada pengguna media sosial berisiko terima denda besar jika gagal berkelakuan ikhlas dan benar dalam sebarang penyiaran berita di masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Chandrakumanan juga menegaskan, Singapura juga mengumumkan kerajaan republik itu sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan akta berita palsu seperti mana yang sedang digubal Malaysia.

“Maka, terimalah hakikat bahawa ia (akta berita palsu) bukan hanya dilakukan di negara ini, segala bantahan yang dibuat Suhakam hanyalah bersifat politik yang tidak seharusnya dibangkitkan dalam hal ini,” tegasnya.

Jelas beliau, Suhakam gagal menyedari kepentingan undang-undang itu selain tidak mengambil kira kedaulatan dan keselamatan negara sebagai faktor penting sebelum membuat kesimpulan membantahnya.

 

“Suhakam tanpa waras mendakwa pelaksanaan undang-undang berita palsu sebagai bahaya kepada demokrasi dan mengancam hak asasi manusia.

“Jika penipuan dan pembohongan ialah apa yang dikategorikan Suhakam sebagai hak asasi manusia pasti mereka akan menolak akta berita palsu ini, bukan ke niat anda sebegitu Suhakam? soalnya lagi.- MalaysiaGazette