Home Utama Dadah bernilai RM10j di rampas dalam 5 serbuan berasingan

Dadah bernilai RM10j di rampas dalam 5 serbuan berasingan

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, dalam lima serbuan berasingan itu, pihaknya telah berjaya menahan enam induvidu warga tempatan dan seorang warga asing Thailand.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah syabu bernilai RM10 juta dalam serbuan berasingan di Kajang, Gombak dan Melaka kelmarin dan semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, dalam lima serbuan berasingan itu, pihaknyam enahan enam induvidu warga tempatan dan seorang warga asing Thailand.

Jelas beliau, polis merampas dadah dipercayai syabu seberat 143.15 kilogram untuk pasaran tempatan dan negara jiran.

“Semua tangkapan kita berbangsa Cina termasuk dalangnya, dan seorang wanita Thailand. Kita tidak dapat pastikan sekiranya ini juga merupakan sindiket kongsi gelap.

“Kesemua suspek dipercayai aktif melakukan kegiatan tersebut sejak beberapa tahun lalu. Dalam serbuan ini juga, kita telah berjaya merampas sepucuk pistol dengan dua kelopak peluru bersama 90 butir peluru hidup jenis 9MM.

“Dalam serbuan kali ini juga, kita menyita tujuh buah kenderaan bernilai RM820,000, pelbagai syiling emas dan perak serta wang tunai termasuk matawang asing bernilai lebih RM500,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media berhubung kejayaan JSJN pagi tadi di Ibu Pejabat Daerah Kajang di sini hari ini.

Tambah beliau, kesemua suspek akan ditahan reman dibawah Seksyen 17 Kanun Proseder Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dadah-dadah ini juga dibungkus menggunakan pembalut teh Cina bagi mengelirukan pihak berkuasa,” katanya.

Dalam pada itu, dalam satu kenyataan yang diedarkan media oleh JSJN menyatakan melalui operasi mereka sejak Januari tahun ini sehingga 29 Mac lepas, sebanyak RM42.9 juta nilai rampasan dadah di lakukan seluruh negara.

Dalam operasi-operasi itu juga, seramai 40,609 orang ditahan termasuk 2,446 warga asing.

Antara rampasan dadah yang dibuat termasuk jenis Kristal syabu seberat 497.57 kilogram, ketamin 9.35 kilogram, pil ekstasi 29.30 kilogram, pil yaba 11.16 kilogran dan eramin sebanyak 40.97kilogram.

Dadah jenis tradisional pula, ganja sebanyak 1,152.13 kilogram manakala heroin sebanyak 117.61 kilogram.

Nilai sitaan harta pula dianggarkan bernilai RM17.56 juta manakala harta dilucutkan bernilai RM0.47 juta.