JOHOR BAHRU – Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini diperlukan untuk mengawal kegiatan segelintir pihak yang buat berita palsu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, undang-undang seperti itu juga lebih penting kerana ia melibatkan komunikasi dalam talian yang tidak mudah untuk kerajaan mengawal tindak-tanduk penggunanya.
“Undang-undang itu bukan hanya dibuat di Malaysia secara berasingan. Sekarang ini Singapura juga sedang bahaskan yang sama, di Britain dan Amerika Syarikat juga sama dan di Jerman juga ada undang-undang sama tapi lain konteksnya.
“Tetapi tujuannya sama untuk mengawal perkara yang tidak baik dan boleh mencetuskan perbalahan dan pertelingkahan yang akhirnya boleh menjejaskan keharmonian kaum dan keselamatan negara,” katanya selepas merasmikan Program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Pulai di sini hari ini.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pulai itu menyeru rakyat supaya tidak melihat undang-undang itu sebagai membebankan rakyat.
“Siapa yang salah dia akan didakwa dan setiap dakwaan tersebut akan dibawa ke mahkamah untuk didengar dan dibuat keputusan oleh mahkamah, bukan kerajaan yang tentukan tetapi mahkamah yang akan menentukan kes mana yang terbukti menjadi kes penyebaran berita palsu,” katanya. – MalaysiaGazette