Home Nasional Skim ‘Rent-To-Own’ bantu 2,500 keluarga milik unit PPR – Noh

Skim ‘Rent-To-Own’ bantu 2,500 keluarga milik unit PPR – Noh

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Perumahan KPKT di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2018.

KUALA LUMPUR –  Dalam mencapai sasaran pembinaan sejuta rumah mampu milik menjelang akhir tahun ini, kaedah Penyewaan ke arah Pemilikan atau ‘Rent to Own’ (RTO)yang diperkenalkan kerajaan sejak 2016 telah membantu lebih 2,500 golongan sasar memiliki rumah.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, selain penyewaan unit-unit PPR, kerajaan turut memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah memilik kediaman tanpa melalui institusi kewangan.

“Skim ini adalah kaedah alternatif diperkenalkan khusus untuk membantu pemohon atau bakal pembeli unit PPR yang tidak layak dibiayai melalui institusi kewangan berdasarkan syarat-syarat penjualan dan kelayakan yang ditetapkan oleh KPKT.

“Tetapi atas sebab tertentu terdapat sebahagian besar pemohon gagal mendapatkan pembiayaan perumahan melalui institusi kewangan.

“Usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan begitu komited dan tidak pernah mengabaikan keperluan perumahan bagi golongan rakyat yang memerlukannya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Insentif Perumahan KPKT, di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Di bawah skim RTO, peserta hanya perlu membayar sewa bulanan antara RM200 hingga RM250 selama 20 hingga 25 tahun sebelum hak milik diserahkan kepada mereka.

Sekiranya penghuni melanggar syarat-syarat kontrak seperti menyewakan kepada pihak ketiga, tunggakan sewaan bulanan melebihi tiga bulan, menyalahgunakan premis dan melanggar syarat, kerajaan berhak menamatkan kontrak sewaan malah penghuni tidak lagi berkelayakan untuk meneruskan Skim RTO ini.

Noh ketika berucap berkata, PPR di seluruh negara sama ada disewakan atau dijual kepada golongan berpendapatan rendah dengan kadar yang cukup rendah iaitu sebanyak RM124 sebulan bagi PPR Disewa dan dijual pada harga RM35,000 seunit di Semenanjung Malaysia serta RM42,000 seunit di Sabah dan Sarawak bagi PPR Dimiliki.

“Kos pembinaan seunit mencecah RM190,000 sehingga RM250,000 seunit jika dibandingkan dengan harga pasaran. Kadar ini memang cukup rendah dan mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang memerlukan.

“Namun begitu, kualiti PPR ini adalah setanding dengan pangsapuri lain yang dibina oleh swasta dengan harga jualan atau sewaan yang jauh lebih tinggi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette