Home Dunia EU, PBB desak badan siasat pembunuhan 16 warga Palestin

EU, PBB desak badan siasat pembunuhan 16 warga Palestin

BRUSSELS – Tindakan tidak berperikemanusian penggunaan peluru hidup oleh tentera sehingga menyebabkan 16 orang awam Palestin maut di Gaza mendapat kritikan badan dunia termasuk Kesatuan Eropah.

Agensi melaporkan, Ketua Diplomatik EU yang turut mewakili 28 negara anggota, Federica Mogherini mendesak sebuah badan siasatan bebas di tubuhkan dalam kadar segera bagi menyiasat penggunaan peluru hidup.

Mogherini berkata, tindakan menggunakan peluru hidup ketika berhimpun untuk menyuarakan pendapat serta perasaan adalah sesuatu yang tidak dapat diterima sama sekali.

“Penggunaan peluru hidup sepatutnya disiasat oleh badan secara telus dan bebas. Kita desak supaya ianya dijalankan dengan segera.

“Kita turut bersimpati dengan keluarga mangsa yang terkorban dan semoga keadilan dapat dikecapi melalui insiden sebegini rupa.

“Kebebasan bersuara dan berhimpun adalah hak asasi yang perlu di hormati dan tidak sesekali di kekang oleh mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan.

Sebuah pertempuran yang berlaku berhampiran sempadan Gaza Jumaat lalu menyebabkan 16 penduduk Palestin maut dan lebih 1,400 lagi cedera dengan 758 daripadanya terkena tembakan manakala bakinya cedera akibat ditembak dengan peluru getah serta terhidu gas pemedih mata.

Tunjuk perasaan itu juga dianggap keganasan terburuk sejak perang Gaza 2014 yang menyaksikan ramai penunjuk perasaan termasuk wanita dan kanak-kanak berkumpul di beberapa lokasi di seluruh wilayah yang terkepung itu.

Sejumlah kecil penunjuk perasaan bergerak hampir beberapa ratus meter dari pagar sempadan yang dikawal rapi dengan rejim Zionis menggunakan gas pemedih mata dan tembakan peluru hidup untuk memaksa mereka berundur.

Dalam pada itu, di New York, Amerika Syarikat (AS), sebuah draf telah disiapkan oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) untuk menggesa siasatan dilakukan ke atas pertempuran di sempadan Gaza.

Bagaimanapun, draf tersebut mendapat bantahan daripada AS namun tiada sebarang penjelasan berhubung perkara tersebut setakat ini.

PBB melahirkan rasa bimbang terhadap situasi terkini di sempadan, selain menegaskan hak penduduk Palestin untuk mengadakan tunjuk perasaan secara aman dan menyuarakan rasa sedih atas kehilangan nyawa yang tidak berdosa.

Draf itu juga merayu pihak berkaitan untuk menghormati hak asasi manusia komuniti antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa termasuk perlindungan ke atas orang awam. – MalaysiaGazette