Home Nasional Dewan Rakyat lulus RUU Anti Berita Tidak Benar

Dewan Rakyat lulus RUU Anti Berita Tidak Benar

Datuk Seri Azalina Othman Said
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia. foto IQBAL BASRI, 02 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar 2018 dengan pindaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman Said sebentar tadi membacakan RUU itu untuk kali kedua selepas undi belah bahagi diadakan.

Antara pindaan yang dibuat adalah Fasal 4(1) Rang Undang-Undang iaitu menggantikan perkataan “diketahuinya” dengan perkataan “niat jahat”.

Selain itu Fasal 5 turut dipinda yang menggantikan menggantikan perkataan sepuluh tahun kepada enam tahun.

Azalina semasa sesi penggulungan menegaskan bahawa berita palsu tidak akan diputuskan kepada kerajaan atau menteri, sebaliknya mahkamah yang akan menentukannya.

“Tidak ada langsung menyentuh undang-undang ini diberi kuasa kepada menteri untuk buat keputusan, yang kita nak bantu masyarakat. Kita bukan nak polemikkan undang-undang ini,” katanya ketika sesi penggulungan.

“Kerajaan tahu perlu ada proses undang-undang sebab itu perlu adanya akta ini,” katanya.

Untuk peringkat seterusnya RUU itu bakal dibentangkan di Dewan Negara pada Selasa sebelum diwartakan.

RUU ini menyaksikan perdebatan dan pertikaian wakil rakyat pembangkang yang menyifatkan ia diwujudkan demi kepentingan Barisan Nasional (BN) dan mengekang hak bersuara. – MalaysiaGazette