Home Politik Halang Pekida guna dewan: Politik sempit kerajaan Selangor

Halang Pekida guna dewan: Politik sempit kerajaan Selangor

Noh Omar
Perbalahan keluarga antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan adiknya, selebriti Azwan Ali yang mahu mencabar abangnya dalam pilihan raya kali ini membuktikan keupayaan menteri besar itu membangunkan Selangor semakin diragui.

SUNGAI BESAR – Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) hampir gagal menjalankan mesyuarat agung tahunannya kerana kerenah birokrasi dan amalan politik sempit yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, memandangkan Pekida dianggap sebagai pertubuhan perkauman oleh pemimpin DAP di negeri itu, akses untuk menggunakan kemudahan awam seperti dewan orang ramai disekat.

“Kita tahu Selangor ini bukannya mudah untuk mendapatkan kemudahan seperti dewan untuk digunakan.

“Apabila kita hilang kuasa, apa juga yang kita perjuangkan dulu, kita yang buat, kita yang memohon, semuanya terlepas kepada orang lain akhirnya kita pula tidak dibenarkan menggunakan kemudahan itu.

“Mujur UMNO Bahagian Sungai Besar mempunyai dewannya sendiri maka Pekida Malaysia berjaya menjalankan mesyuarat agung di Sungai Besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pekida Malaysia ke-23 di sini malam tadi.

Selangor pada tahun ini dipilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran Perhimpunan Agung Pekida Malaysia kali ke-23 melibatkan lebih 500 perwakilan dari seluruh negara.

Pekida Malaysia dianggap sebagai pertubuhan perkauman oleh pemimpin pembangkang khususnya DAP hanya kerana ia cenderung memperjuang dan mempertahankan hak orang Melayu dan Islam sedangkan ia dijamin dalam Perlembagaan Malaysia.

Noh selaku Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga kesal apabila pemimpin PH meminggirkan beliau ketika Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merasmikan sebuah masjid yang diperjuangkan beliau sendiri.

“Masjid Kg Hj Razali yang saya perjuangkan, saya yang pecah tanah, saya yang cari dana tapi bila hilang kuasa (Selangor) nak datang ke masjid, nak jumpa dengan jawatankuasa masjid pun tidak dibenarkan

“Sultan Selangor datang rasmi Masjid Kg Hj Razali, saya dijemput pun tidak,” katanya.

Katanya lagi, amalan politik sempit yang diamalkan pakatan pembangkang itu hanya boleh disingkirkan dari Selangor sekiranya BN mampu menebus semula mandat rakyat pada PRU14 akan datang.

“Saya ingin tekankan jangan sampai kita hilang kuasa di Selangor khususnya, biarlah dua kali BN hilang kuasa, jangan sampai tiga kali kuasa, supaya senang kita nak membangunkan Selangor lagi sekiranya kita menang pada PRU14 nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette