Home Politik Jangan perlekeh sumbangan saya – Kamalanathan

Jangan perlekeh sumbangan saya – Kamalanathan

P. Kamalanathan

KUALA LUMPUR – Datuk P. Kamalanathan dilihat emosional dan menempelak sesetengah pihak yang memandang rendah sumbangannya dalam membantu pelajar India selama ini.

Berucap dihadapan kira-kira 1,000 orang pada Majlis penyamapian Peruntukan Penyelenggaraan Khas Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) 2018 hari ini, Timbalan Menteri Pendidikan I yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor itu mengaku ‘terasa’ dengan kritikan terhadapnya sejak kebelakangan ini.

 

“Saya sebenarnya tidak pernah dan jarang sekali bersuara sebaliknya lebih gemar bekerja dalam diam tetapi sejak akhir-akhir ini, tohmahan serta tuduhan tidak berasas semakin galak diperkatakan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

“Hanya kekurangan serta perkara remeh-temeh menjadi perbualan besar sekumpulan orang. Menariknya, kumpulan ini juga tidak melakukan apa-apa untuk sesiapa tetapi begitu galak bercakap serta membuat pelbagai tuduhan tidak berasas.

“Ada juga media Tamil yang membuat pelbagai dakwaan dalam dada akhbar mereka, pada saya mengapa perkara yang baik tidak pula diuar-uarkan?

“Adakah kerana ianya sumbangan serta jasa Kamalanatan maka tidak ada sebarang kewajaran untuk bercakap mengenainya?

“Cakap-cakap kosong ini biarlah bertempat. Saya boleh tepuk dada secara bangga dan berbangga pencapaian-pencapaian yang telah dilakukan oleh saya. Ada juga media yang menulis ‘Adakah Kamalanathan Sedang Tidur’ apabila berlaku sesuatu isu,” luahnya.

Menurut Kamalanathan, kerajaan banyak membantu SJKT tetapi seandainya beliau bersama pegawai serta pemimpin lain tiada menjalankan kerja adakah semua yang ada sekarang menjadi realiti seperti hari ini.

Beliau turut membidas pihak-pihak tertentu yang sengaja mengeluarkan kenyataan kononnya kerajaan tampil memberikan dana jutaan ringgit kerana menjelangnya musim pilihan raya umum.

“Berjuta-juta telah diberikan untuk sekolah Tamil sejak beberapa tahun lepas, adakah ketika itu PRU? Mengapa bantuan yang diberikan untuk kebaikan kita dan anak-anak kita seolah-olah dicemburui dan dirosakkan? Siapa yang akan rugi.

“Mengapakah anda bercakap tanpa berfikir dengan panjang lebar? Hanya sekadar mengeluarkan kenyataan serta tohmahan kerana ianya juga usaha Kamalanathan? Anda tidak boleh sangkal kerana ini adalah tangggungjawab saya dan saya tidak akan sesekali berhenti,” tegasnya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang turut sama berkongsi pentas pada majlis itu juga memberi sokongan terhadap kenyataan Kamalanathan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam (dua kiri) bersama Timbalan Menteri Pendidikan, P.Kamalanathan (tiga kiri) melihat reka bentuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) pada Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Penyenggaraan Khas SJK(T) Tahun 2017 Fasa 2 dan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi SJK(T) Ke-530 (SJKT PJS 1) di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 02 APRIL 2018.

Menurut  Presiden MIC, segelintir pihak media terutama akhbar Tamil berperanan dalam memutar belit fakta serta mengelirukan masyarakat dalam usaha yang dilakukan oleh pemimpin tertentu.

“Saya beri contoh, baru-baru ini SJKT Ladang Bukit Bertam di tukar nama SJKT Bandar Seri Sendayan yang turut dinobatkan sekolah Tamil terbaik di negara ini memandangkan ia mempunyai reka bentuk yang moden dan dilengkapi kemudahan terkini pembelajaran.

“Peliknya, ada juga akhbar Tamil bertanyakan kembali soalan, ke mana hilangnya SJKT Ladang Bukit Bertam? Bukankah anda tahu sekolah ini sudah ditukar nama? Mengapa mahu membuat provokasi serta tuduhan liar. – MalaysiaGazette

Kamalanathan ditolak di Hulu Selangor?