Home Politik Letak calon Melayu bukti DAP mahu tuntut jawatan Menteri Besar

Letak calon Melayu bukti DAP mahu tuntut jawatan Menteri Besar

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berucap pada Perhimpunan Agung Pekida Malaysia ke-23 di Bangunan UMNO Sungai Besar, Sungai Besar, pada Ahad lalu.

SUNGAI BESARĀ – Tindakan DAP meletakkan calon Melayu di kerusi yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) membuktikan parti itu semakin terdesak merebut jawatan Menteri Besar yang terlepas sejak dua penggal lalu.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, taktik kotor DAP semakin menyerlah dan mempergunakan orang Melayu untuk merampas kuasa kaum itu dengan meletakkan pengkhianat bangsa itu sendiri.

“Ketika PRU13 khususnya di Perak dan Selangor, sepatutnya mereka jadi Menteri Besar tetapi kerana mereka tiada wakil Melayu dari parti mereka, jadi mereka kehilangan hak kerana kerusi DUN dimenanginya lebih banyak daripada parti pembangkang lain.

“Kalau kita lihat di Paloh, DAP telah mengumumkan calonnya daripada orang Melayu.

“Ini menandakan DAP telah merancang sekian lama untuk mereka ini mengambil kuasa daripada orang Melayu dengan cara menggunakan Melayu,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Agung Tahunan Pekida Malaysia, di sini, baru-baru ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar (tengah) bersama Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos (tiga kiri) pada perasmian Perhimpunan Agung Pekida Malaysia ke-23 di Bangunan UMNO Sungai Besar, Sungai Besar, pada Ahad lalu.

Beliau mengulas tindakan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pada Jumaat lepas yang mengumumkan Penolong setiausaha Publisitinya, Sheikh Omar Ali sebagai calon Pakatan Harapan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh pada PRU14.

Kit Siang mengumumkan perkara itu ketika pelancaran bilik gerakan pilihan raya DAP Paloh di Paloh, Johor, pada Jumaat lepas.

Sheikh Omar adalah calon Melayu pertama yang diumumkan DAP dalam kempen pilihan raya akan datang.

Jamal berkata, DAP hanya boleh meraih sokongan orang Melayu hanya dengan mempergunakan orang Melayu sendiri khususnya dalam soal keagamaan dan hak keistimewaan orang Melayu.

“Kalau mereka (Cina DAP) ke hadapan, bercakap tentang agama, bercakap tentang hak keistimewaan orang Melayu, pengundi Melayu akan bangkit.

“Tapi hari ini mereka mempergunakan orang Melayu bercakap tentang agama, bercakap tentang hak keistimewaan orang Melayu, jadi orang Melayu pun tak boleh berbuat apa-apa.

“Jadi inilah kebijaksanaan DAP yang parti memang asalnya parti Komunis yang diterajui oleh Lim Kit Siang ini hanya ingin memecahbelahkan orang Melayu,” katanya.

Katanya, lebih menghairankan apabila Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup bersengkongkol dengan pemimpin DAP itu sedangkan ketika beliau menjadi Perdana Menteri, DAP selalu dilabel sebagai parti perkauman.

“Setiap hari ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau ibaratkan DAP ini sebagai khinzir kerana haram didekati dan disentuh.

“Tapi hari ini ramai masyarakat kita keliru apabila apa yang diperkatakan oleh Tun M itu beliau sendiri boleh duduk semeja dan berganding bahu dengan DAP,” katanya. – MalaysiaGazette.