Home Politik MIC belum muktamad proses pemilihan calon

MIC belum muktamad proses pemilihan calon

Aplikasi yang dikenali sebagai ‘Uthavi’ (bantuan) bagi menyalurkan sumbangan keperluan asas dan makanan kepada golongan memerlukan khasnya ketika Covid-19.

KUALA LUMPUR – Keputusan muktamad pemilihan calon MIC untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) masih terus menjadi teka teki.

Menurut sumber yang enggan dikenali, kepimpinan tertinggi masih lagi dalam proses mengenalpasti dan berbincang dengan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) bagi meletakkan calon yang benar-benar ‘winnable’ bagi PRU kali ini.

Proses saringan didakwa masih lagi berjalan walaupun pada amnya sudah ada mendabik dada menyatakan menjadi calon kawasan tertentu, malah ramai juga sudah turun padang memulakan kempen.

Tambah sumber itu, ramai yang mahu menjadi calon dan sudah lama menjaja diri untuk bertanding walaupun belum tentu dirinya meruapakan pilihan tepat.

“Presiden juga hadapi cabaran untuk memilih calon yang benar-benar winnable dan diterima oleh rakyat, kepimpinan MIC dan BN.

“Memang benar ada banyak muka baharu tetapi ada antara mereka sebenarnya tidak layak tetapi hanya kerana mereka pernah terlibat dalam menyokong Datuk Seri Dr Subramaniam sebagai calon Presiden menggantikan Datuk Seri G. Palanivel, maka merasakan dirinya perlu diberikan peluang untuk bertanding.

“Pada hemat saya, Presiden juga berada dalam persimpangan kerana jika begitu ramai yang kena beri peluang untuk bertanding. Bagaimanapun, sehingga kini keputusan muktamad siapakah sebenarnya akan bertanding belum ada lagi. Mungkin juga akan berlakunya sabotaj sekiranya tidak mendapat kerusi tertentu.

“Proses perbincangan masih lagi berjalan, apatah lagi selepas persempadanan semula. Ada juga kerusi baharu yang boleh kita menangi kali ini jika calon itu benar-benar winnable.

“Perlu ingat, MIC hanya akan kekal relevan seandainya kita menang besar pada kali ini kerana tanggapan parti terbesar masyarakat ini mungkin akan terkubur sekiranya kalah teruk. Tanggungjawab besar terletak pada bahu Dr Subramaniam,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sebelum ini, Subramaniam menegaskan, calon yang berwibawa dan berkebolehan sentiasa menjadi prasyarat parti itu bagi memastikan kemenangan BN.

Menurut sumber itu lagi, daripada sembilan kerusi Parlimen yang akan dipertandingkan, berkemungkinan besar enam kerusi akan dimenangi parti itu.

“Walaupun terdapat desas desus penganalis politik yakin kita hanya akan menang empat daripada sembilan (kerusi), tetapi seandainya pemilihan calon itu tepat, kita boleh menang enam kerusi,” katanya.

Pada PRU-13, MIC gagal memenangi lima kerusi Parlimen yang sebelum ini menjadi kubu kuat parti itu iaitu Sungai Siput, Teluk Kemang, Kota Raja, Subang dan Kapar.

Sementara itu, Subramaniam pada sidang media hari ini mendedahkan hanya 50 peratus daripada calon lama akan dikekalkan.

“Rata-rata calon ini sudah melepasi proses tapisan dan mereka ini layak untuk mewakili keseluruhan suara BN pada PRU dalam masa terdekat.

“Saya akan umumkan nama-nama dalam masa terdekat, ketika ini kita tumpu dulu strategi kemenangan. Bila dekat dengan PRU, kita akan umum. Wajah-wajah baru ini juga adalah nafas baru kepada parti dan kita yakin dengan kemenangan kali ini,” katanya.

Subramaniam sebelum ini dilaporkan berkata, MIC mensasarkan menang tujuh kerusi Parlimen dan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 28 kerusi yang dijangka ditandingi pada PRU14. – MalaysiaGazette