SABAK BERNAMĀ – Barisan Nasional (BN) perlu menghargai jasa dan pengorbanan pemimpin terdahulu jika mahu merampas Selangor daripada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin sedia ada perlu memohon ‘restu’ daripada pemimpin lama bagi memastikan semua jentera bergerak sepenuhnya untuk menang parti.
“Tidak ada yang baharu jika tidak ada yang lama. Itulah sebabnya saya mengetepikan protokol, kawan-kawan yang lama duduk di bawah saya persilakan untuk naik ke atas.
“Ia sebagai penghargaan atas jasa mereka, walaupun zaman mereka telah berlalu, tetapi tanpa mereka kita tidak akan pernah ada di sini.
“Dulu di zaman mereka menjadi pemimpin, kitalah yang menyokong mereka. Sekarang kita berada untuk memohon restu daripada mereka.
“Alhamdulillah mereka semua terus membantu dan menyokong kita untuk menggerakkan jentera,” katanya berucap merasmikan program Santai Rakyat bersama penduduk Parlimen Sabak Bernam di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam, di sini, hari ini.
Zahid selaku Timbalan Perdana Menteri juga berkata, penghargaan perlu diberikan kepada pemimpin terdahulu yang masih setia dengan parti bagi memastikan wujudnya kesinambungan perkhidmatan kepada rakyat.
“Harus ada kombinasi, yang lama dengan yang ada sekarang, jangan lupa yang akan datang termasuk Pemuda dan Puteri.
“Kita lihat kombinasi ini penting apabila kita mahu melakukan kesinambungan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Katanya, BN Selangor perlu memastikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak yang tewas tipis dengan majoriti 399 undi dirampas semula pada pilihan raya kali ini.
“Kita tahu Sabak Bernam adalah merupakan kubu kuat BN, begitu juga DUN Sungai Air Tawar, kubu kuat kita walaupun pada suatu ketika ada orang ambil sebentar.
“DUN Sabak kita kecundang, tapi kecundang kita sikit, cuma 399 undi dalam PRU13 lalu. Boleh ambil alih balik? Boleh,” katanya. – MalaysiaGazette