Home Politik Projek ECRL mungkin dihentikan jika PH menang PRU-14

Projek ECRL mungkin dihentikan jika PH menang PRU-14

Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan tidak menolak kemungkinan akan menghentikan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sekiranya menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengerusinya Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata ini kerana projek ECRL yang membabitkan pembinaan laluan rel sejauh 688 kilometer merentasi sebahagian Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan bernilai RM55 billion itu merupakan satu pembaziran.

“Kalau difikirkan secara logik, siapa mahu menghabiskan masa 14 jam dalam kereta api dari Kota Bharu, Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor berbanding kira-kira 30 minit dengan menggunakan penerbangan.

‘Kita akan mengkaji semula projek ECRL sama ada perlu atau tidak. Jika tidak (diperlukan), henti setakat yang dah buat sahaja,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Bicara Bersama Tun M Siri2.0: Cabaran Ekonomi Anak Muda anjuran Akademi Siasah Anak Muda (Aksi Muda), di sini semalam.

ECRL merupakan projek transformasi yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara terutamanya di wilayah Pantai Timur apabila siap pada 2024.-BERNAMA