KUALA LUMPUR – Orang tengah atau ‘kartel’ yang didapati memanipulasi harga barangan akan dikenakan tindakan undang-undang menerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau dalam masa sama memaklumkan beberapa buah syarikat telah dikenakan tindakan undang-undang kerana bertindak demikian baru-baru ini.
Antara yang melakukan kesalahan tersebut adalah kedai roti dan Persatuan Bakeri.
“Kita mempunyai undang-undang melalui Suruhanjaya Persaingan Malahsia (MyCC) untuk kita tentukan supaya mereka tidak melakukan ini, kalau mereka melakukan ini kita akan ambil tindakan.
“Sudah ada beberapa syarikat kita ambil tindakan, baru-baru ini kita ambil tindakan salah satunya beberapa kedai roti yang kita ambil tindakan oleh kerana dia buat kartel, persatuan pengusaha roti.
“Bila kita dapati mereka melakukan ini kita akan ambil tindakan,” katanya pada sidang media majlis Jamuan Makan Tengah Hari KR1M 2.0.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak menyebabkan kenaikan harga barang, sebaliknya kewujudan orang tengah ‘kartel’ yang menjadi dalang memanipulasi harga.
Hamzah selain itu tidak menolak ‘kartel’ yang tidak bertanggungjawab merupakan salah satu faktor kenaikan harga barang.
Namun bukan sekadar pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang malah menurut beliau, Program Jualan Sentuhan Rakyat juga merupakan salah satu usaha kerajaan untuk menangani masalah ini dan menggalakkan rakyat membeli terus daripada pembekal.
“Banyak faktor yang menyebabkan harga barang naik dan salah satunya betul kerana kartel.
“Ada kebenarannya tetapi dengan undang-undang yang ada ini kita nak supaya masalah ini dapat ditangani.
“Saya nak maklumkan isu kartel tidak boleh menjejaskan KR1M 2.0 kerana kita bekerjasama terus dengan pembekal nak kartel dengan siapa?
“Sebab itu dalam banyak barang kita lakukan Program Jualan Sentuhan Rakyat yang kita lakukan di seluruh negara untuk mengurangkan penggunaan orang tengah,” katanya sambil menegaskan, KR1M 2.0 tidak akan terjejas dengan kewujudan ‘kartel’. -MalaysiaGazette