KUALA LUMPUR – Peserta program masakan realiti, MasterChef UK, Zaleha Kadir Olpin dianggap hero kepada rakyat Malaysia kerana berjaya ‘menyatukan’ rakyat negara ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, segala yang dihadapi Zaleha sehingga disingkirkan dari program itu telah meningkatkan patriotisme rakyat negara ini terhadap masakan tradisional negara, rendang.
“Kita biasa mendengar sukan dan makanan mampu menyatukan rakyat Malaysia. Ternyata kata-kata ini terbukti minggu ini. Puan Zaleha Kadir Olpin dan rendang ayamnya secara tidak langsung telah menjadi penyatu rakyat Malaysia, tidak kira daripada Kerajaan atau pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, isu rendang Zaleha turut mendapat perhatian negara-negara seantero antaranya Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam.
Ujar Anifah, rakyat negara ini kini tertumpu kepada bahang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) sehingga lupa perkara lain yang mampu ‘menyatukan’ mereka.
“Dalam suasana panas menuju pilihan raya, kita mudah terlupa tentang titik persamaan yang menyatukan semua rakyat Malaysia.
“Kita bergaduh dan bertegang urat sehingga lupa budi bahasa. Namun adakalanya, sesuatu perkara yang tidak dijangka muncul dan rakyat Malaysia bersatu hati dalam sesuatu perkara,” katanya lagi.
Isu rendang tidak rangup semakin hangat diperkatakan apabila juri program tersebut John Torode bertindak memberikan komen sarkastik terhadap rendang ayam Zaleha.
Perkara itu tular mengenai komen Torode kepada masakan Zaleha yang disingkirkan ekoran rendang itu tidak mempunyai kulit ayam yang rangup.
Perkara itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila membalas kirimkan terhadap masakan tradisional Malaysia itu dengan berkata “Mana ada orang makan rendang ayam ‘crispy’?”. -MalaysiaGazette