Home Nasional Nazri jangka Parlimen bubar Jumaat ini

Nazri jangka Parlimen bubar Jumaat ini

Mohamed Nazri Aziz
Mohamed Nazri Aziz
KUALA LUMPUR- Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menjangka Parlimen akan dibubarkan Jumaat ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu membuat jangkaan itu susulan pengangguhan mesyuarat Kabinet yang dijadualkan pada Rabu ditunda ke Jumaat ini manakala persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara pula akan berakhir pada Khamis ini.

“Kabinet tidak bersidang pada esok jam 9.30 pagi seperti kebiasaan kerana waktu itu kita ada sesi Parlimen. Ia ditunda pada Jumaat kalau tidak silap saya.

“Kalau ikut tekaan saya, dengan ambil kira manifesto pada 7 April 2018, Parlimen habis 5 April 2018, mesyuarat kabinet 6 April 2018.

“Saya ingat apa perlu mengadakan atau mengumumkan manifesto kalau belum ditentukan lagi tarikh Parlimen bubar,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara DS Property Development Sdn Bhd dan Wyndham Hotel Asia Pacific for Dolce Hotel di WOW KL hari ini.

Mohamed Nazri mengulas tarikh pembubaran Parlimen yang masih dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia susulan tempoh Parlimen ke-13 akan berakhir penggalnya pada 24 Jun 2018.

Tarikh pembubaan Parlimen juga dikatakan semakin hampir apabila BN dijadualkan mengumumkan Manifesto PRU-14 pada 7 April ini yang akan dibentangkan oleh pengerusinya, Datuk Seri Najib Razak.

Mohamed Nazri juga berkata, rakyat Malaysia umumnya tidak dapat lari daripada memikirkan tarikh pembubaran Parlimen kerana tidak sabar untuk membuang undi pada PRU-14.

“Kita tak boleh lari daripada hakikat setiap rakyat Malaysia sekarang ini memikirkan bila sebenarnya Parlimen akan dibubar dan bila sebenarnya pilihan raya akan diadakan.

“Saya juga rakyat Malaysia sedang memikir dan mengagak bila tarikh ini akan diumumkan Perdana Menteri. Esok pula kita ada Majlis Tahunan Perkhidmatan Awam. Ruang untuk membuat tekaan itu semakin kecil.

“Apa pun soal ini Perdana Menteri yang lebih tahu. Tekaan saya pada Jumaat (Parlimen bubar),” katanya lagi. – MalaysiaGazette.