Home Nasional Pendidikan percuma untuk kanak-kanak Rohingya di Malaysia

Pendidikan percuma untuk kanak-kanak Rohingya di Malaysia

Duta Arab Saudi, Mahmoud Hussien Saeed Qattan (kiri) beramah mesra bersama murid-murid Rohingya pada Majis Menandatangani Perjanjian Memorandum Persefahamanan (MoU) untuk menyokong pendidikan dan pembacaan Rohinggya di Sekolah Saudi, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 03 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Nasib dan penderitaan masyarakat Rohingya terus mendapat perhatian dunia termasuk Malaysia yang sentiasa tampil lantang dalam memastikan nasib golongan itu terjamin.

Terbaru, Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman dan Kedutaan Arab Saudi di Malaysia memeterai Memorandum Persefahamaan (MoU) bagi memberi bantuan pendidikan serta kemahiran untuk golongan yang mendapat perlindungan di negara ini.

Menurut jurucakap Kedutaan Arab Saudi, MoU ini menunjukkan komitmen negaranya dan Yayasan Kemanusian Raja Salman yang mahu membantu menyediakan pendidikan percuma kepada kanak-kanak Rohingya.

Jelasnya, bantuan tersebut akan disalurkan secara terus kepada pelajar berkenaan yang kini menunutut di Sekolah Arab Kuala Lumpur menerusi program khas.

“Semua pelajar Rohingya yang berjumlah lebih 160 akan menerima pendidikan percuma di sekolah tersebut. Mereka akan belajar pelbagai subjek seperti Matematik, Sains, Bahasa Arab dan Bahasa Melayu bagi memastikan dapat menikmati pendidikan dengan sewajarnya.

“Ini merupakan antara komitmen yang kami akan berikan kepada golongan apatah lagi ramai mendapat perlindungan serta penempatan di negara ini.

“Antara lain yang diberikan oleh kami ialah makanan percuma dan juga pengangkutan untuk mengambil dan menghantar mereka. Ada juga pusat yang dibuka berdekatan dengan penempatan mereka bagi meneruskan perkhidmatan ini.

“Setakat ini, ramai yang telah mendapat manfaat dan penerimaan program kami juga di terima dengan begitu baik sekali. Kami juga sedang berkira-kira untuk memperkenalkan program kemahiran untuk golongan muda untuk membantu menaik taraf kehidupan mereka. InsyaAllah, dalam masa terdekat kami akan umumkan juga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Duta Arab Saudi di Malaysia Mahmoud Hussein Qattan dan wakil Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman Yasser Alshehri.

Seramai 62,153 etnik Rohingya berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) setakat 30 Sept lalu.

Daripada jumlah itu, 53,811 orang adalah pelarian manakala 8,342 adalah pemohon suaka.

Ramai pelarian Rohingya yang berada di Malaysia adalah pemegang kad UNHCR tetapi kerajaan tidak mengiktiraf status ‘pelarian’ etnik Rohingya memandangkan Malaysia bukan anggota Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967.

Ini menyebabkan secara dasarnya mereka tidak boleh bekerja secara sah di Malaysia.

Bagaimanapun, atas dasar kemanusiaan kerajaan membenarkan pemegang kad UNHCR termasuk etnik Rohingya yang mempunyai kad UNHCR yang sah tinggal sementara waktu sehingga dihantar pulang ke negara asal atau ditempatkan di negara ketiga. – MalaysiaGazette