KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sekiranya gabungan itu berjaya menawan Putrajaya Akta Berita Tidak Benar akan dimansuhkan.
Menurutnya, selain akta yang diluluskan semalam, PH juga akan memansuhkan akta yang didakwa zalim oleh gabungan itu sebelum ini.
“Apabila kita tubuh kerajaan kita akan mansuh atau batalkan Akta Anti Berita Tidak Benar.
“Undang-undang ini bersama dengan undang-undang lain yang merupakan tekanan kepada rakyat,” katanya dalam satu sidang media di pejabat Ketua Pembangkang di Bangunan Parlimen hari ini.
Kerajaan semalam meluluskan Akta Antiberita Tidak Benar setelah 123 ahli parlimen menyokong dan 63 ahli parlimen yang lain menolak pelaksanaan undang-undang itu.
Daripada 123 yang menyokong, 11 daripadanya adalah ahli parlimen Pas.
Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini berkata Akta Anti Berita Tidak Benar adalah untuk menahan mana-mana individu yang mengkritik kerajaan.
Jelas Mahathir, selain akta berkenaan, PH juga akan memansuhkan beberapa lagi akta antaranya Akta Hasutan 1958, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Majlis Keselamatan Negara 2016. -MalaysiaGazette