KUALA LUMPUR – Tabung Haji dilaporkan akan menanggung kenaikan kos subsidi haji tambahan sebanyak RM100 juta pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan subsidi mencecah RM400 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, subsidi bagi setiap jemaah haji bagi 2018 adalah sebanyak RM12,470 yang ditanggung Tabung Haji.
“Kos haji bagi tahun 2018 adalah sebanyak RM22,450 iaitu peningkatan sebanyak RM2,900 atau 14.8 peratus berbanding kos haji bagi tahun 2017.
“Peningkatan ini tidak memberi impak secara langsung kepada Jemaah haji muasasah. Ini disebabkan kerana bayaran haji kekal sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak Tabung Haji sebanyak RM9,980 bagi mereka yang pertama kali menunaikan ibadah haji.
“Berikutan itu subsidi bagi setiap Jemaah haji bagi 2018 ialah sebanyak RM12,470 dan jumlah keseluruhan dianggarkan sebanyak RM400 juta berbanding dengan RM300 juta bagi musim haji tahun lalu,” katanya menjawab pertanyaan Datuk Shahabudin Yahaya (Tasek Gelugor-BN) pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT), hari ini.
Bagi tahun 2018, sejumlah RM400 juta diperuntukkan Tabung Haji bagi subsidi kepada sejumlah 30,200 jemaah haji. – MalaysiaGazette