Home Politik Tiga bahagian BN di kemuncak mampu tawan Selangor

Tiga bahagian BN di kemuncak mampu tawan Selangor

Zahid, calon, PRU14
Ahmad Zahid Hamidi

SABAK BERNAMĀ – Barisan Nasional (BN) dan UMNO di Selangor diyakini berkeupayaan untuk menawan kembali negeri itu susulan prestasi parti itu khususnya di Tanjung Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam berada pada tahap kemuncak.

Perkara itu diakui sendiri oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu semua bahagian BN dan UMNO di Selangor menjadikan tiga Parlimen berkenaan sebagai contoh untuk memperkasakan kawasan sebelum pilihan raya.

“Saya turun ke bawah (Tanjung Karang dan Sungai Besar) termasuk di Sabak Bernam tahap kemantapan barisan kepimpinan UMNO dan BN Selangor sedang berada di kemuncak.

“Tidak ada soal yang tidak boleh diselesaikan, tidak ada masalah kecil yang tidak boleh dirungkaikan

“Saya harap di Sabak Bernam ini mengambil contoh UMNO dan BN Selangor.

“Walaupun wakil rakyat kita di Sungai Air Tawar sudah meninggal dunia, tapi saya yakin Sungai Air Tawar tetap dimiliki oleh BN dalam pilihan raya ini,” katanya berucap merasmikan program Santai Rakyat bersama penduduk Parlimen Sabak Bernam di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam, di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada Majlis Santai Rakyat bersama Timbalan Perdana Menteri di Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam, Sabak Bernam. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2018

Hadir sama Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh; Pengerusi BN Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mohd Taib.

Ahmad Zahid berkata, BN Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Noh Omar wajib menawan semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana ‘sawah politik’ yang ditanam dan dibaja oleh kepimpinan lalu perlu dituai oleh kepimpinan mereka.

“Kita tidak mahu menjadi burung-burung yang memakan padi-padi apabila tiba musim padi menguning, wakil rakyat sama ada ADUN ataupun ahli Parlimen memberikan perkhidmatan tanpa musim sama ada padi menguning mahupun dari benih.

“Kita menanam, kita meracun, kita membaja, kita harus mengutip dan menuai padi yang kita tanam. Dulu di Selangor ini yang membajak sawah padi iaitu sawah padi pembangunan ialah Mat Taib.

“Tapi sekarang yang menuainya orang lain, sampai bendang kering tiada air, sawah jadi kering, cukuplah, jangan tipu rakyat Selangor, jangan permainkan rakyat Selangor.

“Barisan Nasional wajib ambil alih Selangor, kita mesti tuai padi yang kita tanam, kita mesti menjual padi yang kita tanam. Jangan bagi orang lain tuai, dia mendabik dada dengan mengatakan bahawa ini semua hasil yang mereka lakukan,” katanya. – MalaysiaGazette.