Home Akhbar Cina Zambry serampang dua mata UMNO

Zambry serampang dua mata UMNO

Datuk Seri Zambry Abdul Kadir

SITIAWAN – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir akan menjadi senjata dua mata UMNO di Perak dengan bertanding masing-masing di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sinchew Daily melaporkan, UMNO berniat meletakkan Zambry untuk merampas kerusi Lumut daripada pembangkang selepas calon MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha tewas di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Lumut merupakan kerusi tradisi MCA, tetapi perubahan struktur pengundi termasuk pengurangan pengundi Cina selepas persempadanan semula di situ menyebabkan UMNO mahu calonnya diletakkan.

Memandangkan Zambry mempunyai hasrat tinggi untuk kekal sebagai menteri besar, jalan penyelesaian UMNO mungkin ialah meletakkan beliau untuk bertanding masing-masing di Lumut dan kerusi DUN Pangkor yang terletak dalam Lumut.

Pangkor mempunyai 26,166 pengundi dengan majoritinya adalah daripada pangkalan tentera laut di Lumut. Calon yang memenangi hati tentera laut justeru akan memenangi Pangkor.

Dalam perkembangan berkaitan di Ipoh, Zambry yang menerima wawancara akhbar Cina yakin tsunami Melayu yang diuar-uarkan oleh pembangkang tidak akan mengambil tempat di Perak.

Hujah Zambry itu dikuatkan lagi dengan pertumbuhan ekonomi yang baik di Perak, kesungguhan BN Perak untuk berkhidmat dan kehilangan sokongan Pas kepada Pakatan Harapan.

Zambry justeru percaya BN akan mengekalkan pemerintahan di Perak, malahan mencatat kejayaan lebih besar dalam pilihan raya akan datang.

Kata Zambry lagi, beliau juga tidak pernah berputus asa untuk mendapat undi orang Cina dan percaya pengundi kaum itu akan memberi penilaian sewajarnya kepada kerajaan negeri. – MalaysiaGazette