Home Akhbar Cina Cheng Hau tidak makan pujukan untuk bertanding di Labis

Cheng Hau tidak makan pujukan untuk bertanding di Labis

Boo Cheng Hau
PETALING JAYA – Veteran DAP Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Dr. Boo Cheng Hau menolak cadangan untuk bertanding di kerusi Parlimen Labis walaupun dipujuk oleh pucuk pimpinan DAP termasuk Lim Kit Siang.

Sinchew Daily melaporkan, Kit Siang sendiri bertandang ke klinik Cheng Hau untuk memujuknya bertanding di Labis, tetapi pujukan itu tidak berhasil.

Cheng Hau sebaliknya lebih cenderung untuk mempertahankan kerusi Skudai dan mahu menjadi ADUN di situ untuk penggal ketiga.

Labis merupakan antara kubu MCA di Johor yang mahu dirampas DAP. Labis yang pernah sinonim dengan Datuk Seri Chua Soi Lek berjaya dipertahankan anaknya, Datuk Chua Tee Yong pada pilihan raya lalu.

DAP dalam usahanya untuk memperluaskan penguasaan di Johor telah mengumumkan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong untuk berdepan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong di Ayer Hitam.

Selain itu, DAP juga memindahkan seorang ADUN dari Selangor, Yeo Bee Yin untuk mempertahankan penguasaan DAP di Bakri, Johor.

Kengganan Cheng Hau untuk bertanding di Labis bagaimanapun menyebabkan pencaturan DAP di dua lagi kerusi Parlimen Johor iaitu Kulai dan Kluang terkandas.

Penyandang kerusi Parlimen Kulai, Teo Nie Ching pernah dikhabarkan mungkin dipindah ke Labis. Bagi Kluang pula, penyandangnya iaitu Chin Tong telah disahkan dipindah ke Ayer Hitam.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo menawarkan diri untuk berpindah dari Selangor ke Labis untuk membantu DAP menawan lebih banyak kerusi di Johor.

DAP bagaimanapun berpendapat Cheng Hau lebih sesuai untuk bertanding di Labis berbanding Gobind.

Gobind dikatakan patut dikekalkan di Lembah Klang kerana beliau sibuk dengan pelbagai kes mahkamah membabitkan pemimpin DAP.

Walau bagaimanapun,  keengganan Cheng Hau untuk bertanding mungkin menyebabkan DAP meletak Gobind di Labis dalam usaha parti itu merobohkan kubu MCA di Johor.

DAP telah mengumumkan calonnya di Ayer Hitam dan Bakri,  tetapi belum berbuat demikian untuk kerusi Labis, Kluang, Gelang Patah dan Kulai. – MalaysiaGazette