Home Utama Manifesto BN bakal penuhi aspirasi rakyat

Manifesto BN bakal penuhi aspirasi rakyat

Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi PRU-14 yang akan diumumkan Sabtu ini bakal menjanjikan manifesto yang lebih komprehensif dan inklusif.

Ia akan menjanjikan banyak idea-idea baharu untuk memenuhi aspirasi seluruh rakyat Malaysia, kata Pengarah Strategik Komunikasi BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Pengumuman manifesto itu akan dibuat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Abdul Rahman, manifesto itu mengandungi teras-teras serta inisiatif yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan rakyat akan memberikan nikmat dan pulangan kepada mereka.

Ia juga bakal menjanjikan kelebihan kepada rakyat di Sabah dan Sarawak yang mana Perdana Menteri bakal menawarkan sesuatu yang progresif demi kepentingan rakyat di kedua-dua negeri itu.

Menurutnya, inisiatif-inisiatif itu amat bertepatan dalam menyantuni keperluan serta kehendak rakyat dan diyakini dapat melonjakkan taraf hidup rakyat ke satu tahap yang lebih baik.

“Manifesto ini hendaklah dibaca bersama-sama dokumen Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), bajet tahunan, Program Transformasi Nasional (NTP) dan Transformasi Nasional 2050 (TN50) kerana ia datang dari roh dan semangat yang sama untuk membawa Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi di samping memastikan rakyat menerima limpahan kemajuan dan kemakmuran negara.

“Ia adalah aku janji yang terbaik bagi menterjemahkan usaha BN dalam memperjuangkan nasib rakyat Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya terus diberi mandat untuk menerajui negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Abdul Rahman, ia bukanlah retorik dan sekadar menabur janji-janji kosong seperti yang diumumkan oleh Pakatan Harapan tetapi inisiatif-inisiatif yang mampu dilakukan oleh Barisan Nasional.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Malaysia menilai secara telus manifesto yang bakal diumumkan itu dan menjadikannya satu pegangan dalam memilih Barisan Nasional untuk terus memimpin kecemerlangan negara di masa hadapan.- MalaysiaGazette