Home Utama Pencetak tidak optimis dengan tempahan pilihan raya

Pencetak tidak optimis dengan tempahan pilihan raya

Perang Internet lebih berkesan daripada perang poster dalam usaha mendapat undi pada pilihan raya akan datang.

IPOH – Perang Internet yang menggantikan perang poster menyebabkan industri pencetakan gagal memperoleh manfaat besar walaupun gendang pilihan raya sudah kedengaran di banyak tempat.

Selain itu, ramai ‘bakal calon’ juga tidak mahu membuat tempahan sehingga pencalonan mereka betul-betul disahkan oleh pihak parti.

Nanyang Siang Pau melaporkan, statistik Pilihan Raya Umum Ke-13 menunjukkan 41.98 peratus orang yang membuang undi ialah orang muda berumur antara 21 hingga 40 tahun dan golongan ini mendapat maklumat melalui Internet.

Keadaan itu juga menunjukkan bahawa perang Internet lebih berkesan daripada perang poster dalam usaha mendapat undi pada pilihan raya akan datang.

Seorang pengusaha kilang pencetakan memberitahu, pengurangan bahan kempen dalam bentuk cetakan adalah trend yang berlaku sejak pilihan raya lalu.

“Sebelum ini risalah jemputan akan dibuat untuk mengajak orang ramai menghadiri ceramah politik, tetapi cara lama tidak lagi digunakan kerana mereka lebih gemar mempromosi ceramah melalui media sosial,” katanya.

Bagi mereka yang masih memilih bahan bercetak pula, pembekal dari China yang menawarkan harga murah sering menjadi pilihan.

“Pelanggan daripada parti politik bukannya menitik berat kualiti kerana risalah yang dicetak digunakan sekali sahaja,” kata seorang lagi pengusaha kilang pencetakan.

“Hanya dalam keadaan terdesak kerana memerlukan produk dengan cepat, calonĀ  akan mencari pencetak tempatan,” tambahnya.

Walaupun risalah kempen semakin ditelan zaman, tetapi kain rentang dijangka akan kekal sebagai bahan kempen penting dalam pilihan raya kerana ia sesuai dipasang di kawasan strategik untuk satu-satu tempoh. – MalaysiaGazette