Home Ekonomi Perang perdagangan AS-China bagi manfaat kepada PetChem

Perang perdagangan AS-China bagi manfaat kepada PetChem

KUALA LUMPUR- Perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China yang semakin memuncak mampu memberi manfaat kepada pengeluar-pengeluar bahan kimia serantau.

MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, perang perdagangan itu mungkin menyebabkan harga bahan kimia dan produk keluaran Malaysia meningkat.

Bahan kimia dan produk kimia merupakan eksport ketiga utama Malaysia mewakili kira-kira lapan peratus daripada keseluruhan eksport selepas elektrik dan barangan elektronik serta produk petroleum.

Eksport kimia dan produk kimia merangkumi 15 sehingga 20 peratus daripada keseluruhan eksport ke China, katanya.

Menurut MIDF Research, tambahan tarif ke atas bahan kimia dan produk kimia AS memberi petunjuk positif kepada Petronas Chemicals Bhd.

“Selain peningkatan harga, perang perdagangan itu juga membuka peluang kepada Petronas Chemicals untuk meningkatkan eksport produk-produknya ke China serta mengeluarkan produk baharu ke negara tersebut,” katanya.

Pada 4 April lalu, China telah menyenaraikan senarai produk-produk daripada AS yang dikenakan tarif tambahan sebanyak 25 peratus.

Lebih daripada 40 barangan tersebut adalah produk berasaskan kimia atau bahan kimia mentah.-MalaysiaGazette