Home Politik PPBM masih berfungsi, tekad bertanding PRU-14

PPBM masih berfungsi, tekad bertanding PRU-14

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad

PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa partinya masih berfungsi walaupun Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah mengeluarkan perintah pembubaran sementara.

Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, PPBM masih boleh melakukan aktiviti parti sewaktu walaupun dalam proses rayuan.

“RoS menyatakan PPBM tidak boleh menjalankan sebarang aktiviti sebagai parti politik, kenyataan ini adalah salah di sisi undang-undang dan amatlah mendukacitakan.

“Halangan yang dinyatakan oleh RoS itu adalah halangan-halangan di bawah Bahagian 3 Akta Pertubuhan yang hanya terpakai apabila sesuatu pertubuhan itu dibatalkan pendaftarannya,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat parti malam tadi.

Mahathir kemudiannya mencabar RoS untuk berdebat dengan peguam yang dilantik parti itu berkenaan perihal arahan yang dikeluarkan yang padanya tidak mengikut lunas undang-undang.

Selain itu berkata, RoS juga gagal menyerahkan notis arahan kepada parti walaupun bertindak membuat sidang media pada Khamis.

“Sehingga kini kami pemegang jawatan PPBM iaitu saya, Tan Sri Muhyiddin (Yassin) sebagai Presiden dan lain-lain tidak pernah disampaikan apa-apa notis atau perintah sementara pembubaran oleh RoS, pejabat berdaftar PPBM di Damansara juga tidak menerima apa-apa notis,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu memaklumkan PPBM akan membuat rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri dengan kadar segera.

“Kalau Menteri KDN, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak takut dengan PPBM, maka saya cabar diluluskan rayuan itu secepat yang mungkin kalau tidak terbuktilah menteri memang takut dengan kewujudan PPBM,” katanya lagi.

Mahathir juga menegaskan pendirian parti itu untuk tetap bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 walaupun sebagai individu.

“Tiada apa yang boleh halang kami (PPBM) daripada bertanding,” katanya sambil menyifatkan langkah ini didalangi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk ‘melumpuhkan’ PPBM.

Sementara itu, esok beliau dan pimpinan PPBM akan berceramah di Gelang Patah, Johor dan akan membuat pengumuman penting bagaimana mahu menjatuhkan Najib. – MalaysiaGazette

ROS beri tempoh 30 hari untuk PPBM serah dokumen