KUALA LUMPUR- Media dan golongan wartawan kini tersepit dalam perang politik antara kerajaan dan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berkata, perang politik itu sama ada melakukan serangan atau mempertahankan diri menerusi media dan pelbagai platform menjadi semakin sengit ketika ini.
Bagaimanapun jelas beliau, media dan golongan wartawan tidak dapat menghindari untuk menzahirkan pendirian masing-masing yang bergantung kepada faktor pemilikan dan kawalan.
“Dalam demokrasi, media juga dibenarkan untuk menyokong, menentang atau bersikap berkecuali sewaktu tiba pilihan raya.
“Senario ini bukan sahaja berlaku di negara ini tetapi juga di negara-negara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Forum Media dan Komunikasi Menjelang PRU14 anjuran MPI di Hotel Novotel di sini hari ini.
Pada masa sama, Chamil turut meramalkan PRU14 akan berlangsung sebelum pertengahan Mei depan iaitu sebelum umat Islam mengerjakan ibadah puasa.
Sementara itu, beliau menekankan komunikasi adalah satu disiplin ilmu yang penting dan tertua dalam kehidupan masyarakat.
Ilmu itu jelas beliau bermula sejak lahir hingga ke universiti bagi mereka yang berpeluang ke menara gading.
“Tetapi malangnya kadang kala bidang komunikasi ini tidak diberi perhatian yang sewajarnya atau dipandang sebelah mata sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette